Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
BUKIT MERTAJAM– Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berharap agar taman perumahan di Taman Permata di sini dapat dijadikan contoh taman bersih dan indah kepada (taman perumahan) yang lain.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutupan Latihan Eco Rangers dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Tun Syed Sheikh Shahabudin (SMKSTSSS) di Dewan Taman Permata barubaru ini.
Menurut Maimunah, penganjuran tersebut dapat mendidik generasi muda tentang betapa pentingnya amalan konsep 4R iaitu Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle.
“Adalah amat mustahil sekiranya masyarakat mengharapkan kepada MPSP semata-mata untuk membersih dan mengindahkan Seberang Perai memandangkan penghasilan sampah menjangkau beribu tan sehari adalah membabitkan semua pihak di sini.
“Penglibatan komuniti seperti hari ini adalah amat penting bagi memastikan alam sekitar bebas daripada bahan buangan dan juga penduduk menjalani kehidupan yang terjamin kebersihannya,” katanya pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Pengetua SMKSTSSS, Jamaludin Yaacob dan Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permata, Delbeer Singh.
Penganjuran program terbabit merupakan kali kedua (bermula tahun lalu) sebagai inisiatif menggalakkan penyertaan pelajar serta penduduk taman berkaitan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Tambah Maimunah, sebagai usaha menjadikan taman tersebut sebagai (taman perumahan) contoh dari segi kebersihan, pelajar SMKSTSSS adalah disyorkan menjadikan Taman Permata sebagai program angkat.
“Saya harap agar syor ini dapat mendidik penduduk setempat dalam penjagaan kebersihan dan secara tidak langsung mewujudkan kehidupan berorientasikan 4R supaya dapat sama-sama menjadikan Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat” ujar beliau.