Harga hartanah naik, Kerajaan Negeri tiada kaitan – REHDA

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Timbalan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau  Pinang, Toh Chin Leong menegaskan bahawa kenaikan harga hartanah di negeri ini adalah dipengaruhi oleh prinsip permintaan serta penawaran dan bukannya polisi Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut siaran artikel bertajuk, ‘Land prices in Penang likely to rise next year‘ dalam ruangan Business Times akhbar perdana Bahasa Inggeris, New Straits Times (NST) bertarikh 11 Disember lalu.

Chin Leong memberitahu, kenaikan harga hartanah di kawasan-kawasan utama bukan sahaja melanda Pulau Pinang, malah turut melibatkan seluruh negara secara keseluruhannya.

“Banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan hartanah, antaranya peningkatan harga kos pada peringkat perancangan dan rekabentuk serta faktor-faktor luaran seperti peningkatan harga bahan bakar seperti minyak serta penggunaan tenaga,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Tambah beliau, kenaikan tersebut turut dipengaruhi oleh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) sebanyak enam peratus mulai April 2015 dan kekurangan tenaga buruh (90 peratus).

“Malah jika dilihat, harga tanah yang turut meningkat sehingga 300 peratus terutama di bahagian pulau juga menyebabkan harga hartanah di sini (bahagian pulau) lebih tinggi berbanding Seberang Perai.

“Kenaikan drastik harga bahan mentah dan binaan seperti simen, tanah, pasir, besi tetulang, balak dan kos jentera turut menjadi faktor penyumbang gejala ini,” jelas beliau.

Chin Leong dalam pada itu turut menjelaskan bahawa kenaikan kos pematuhan tiga peratus daripada anggaran keseluruhan kos sebagai deposit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapatkan lesen pemaju serta kos pembangunan juga merupakan faktor penyumbang.

“Jelas, ia tiada kaitan yang menunjukkan penglibatan Kerajaan Negeri berhubung hal ini (kenaikan harga hartanah di Pulau Pinang),” tegas beliau.

Faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga rumah yang dibangkitkan oleh REHDA adalah :
Pengenaan 6 peratus Cukai GST menjelang April 2015.
Harga tanah yang terlalu tinggi, meningkat 100 – 300 peratus di lokasi-lokasi utama di pulau.
 Peningkatan yang mendadak dalam kos bahan binaan seperti simen, pasir, kayu, jentera dan lain- lain.
Kenaikan bahan api dan tenaga.
Kekurangan tenaga kerja di mana 90 peratus daripada pekerja binaan sekarang adalah terdiri daripada warga asing.
 Peningkatan kos pematuhan seperti 3 peratus daripada anggaran kos sebagai deposit untuk KPKT bagi mendapatkan lesen pemaju, kos-kos lain seperti sumbangan kos rendah, sumbangan tempat letak kereta, caj pembangunan juga telah meningkat sejak tiga hingga lima tahun lepas.

REHDA Penang telah menjelaskan kos pecahan pembinaan rumah adalah seperti di bawah :
Jumlah kos keseluruhan (100%)

  • Pembinaan/bahan 55-60%
  • Kos tanah 20-25%
  • Kos Pematuhan 12-15%
  • Lain-lain (overhead, pemasaran dan lain- lain) 8-10%.