Hari Buletin 4.0 Bersama TLDM himpun 40,000 pengunjung, kian meriah!

Admin
70eb6452 b210 41ca bac4 f01183c26147 KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd. Balkish Othman (kanan sekali); dan Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying (kiri sekali) merakamkan gambar dengan pemenang utama acara cabutan bertuah berupa sebuah motosikal, sempena penganjuran Hari Buletin 4.0 Bersama TLDM dekat Padang Kota pada 17 Ogos 2025.

GEORGE TOWN – Hari Buletin 4.0 Bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlangsung sejak awal pagi di Padang Kota Lama menerima kira-kira 40,000 pengunjung.

aa609073 d7f4 45b9 b89d a626d3cc76f8
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian penutup Hari Buletin 4.0 Bersama TLDM dekat Padang Kota Lama, George Town di sini pada lewat petang tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, paling bermakna dalam edisi keempat Hari Buletin anjuran Bahagian Penerangan, Pejabat Ketua Menteri bukan sahaja kerana melibatkan penyertaan TLDM, malah sekali gus membawa kembali ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) selepas kali terakhir diadakan di Pulau Pinang pada 19 Mei 1990 sempena International Fleet Review.

“Sepanjang hari ini, masyarakat berpeluang menyaksikan demonstrasi maritim, persembahan kawad senyap, pancaragam tentera laut serta pelbagai reruai pameran.

“Tidak ketinggalan, siri persembahan pentas pada sebelah petang oleh pasukan laut dari Thailand, Myanmar, Vietnam, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina turut menceriakan pengunjung,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup acara tersebut di sini pada 17 Ogos 2025.

8abb9120 d8c5 4e3d b686 e4f1a31c2f31
KETUA Menteri turut meluangkan masa melawat gerai pameran agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan di sini tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyatakan bahawa penganjuran kali ini adalah amat bermakna kerana turut mengetengahkan kecanggihan aset-aset armada laut serantau termasuk 10 kapal perang yang berlabuh di perairan Pulau Pinang.

Tambah Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, pameran aset armada laut tersebut telah memberi pengalaman luar biasa kepada rakyat untuk melihat secara dekat keupayaan pasukan pertahanan maritim negara.

“Inisiatif ini seiring dengan semangat Visi Penang2030, iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang progresif, inklusif dan berdaya huni.

“Hari Buletin kini telah berkembang menjadi satu perhimpunan besar yang menyatukan masyarakat dari pelbagai lapisan,” katanya sambil menzahirkan harapan agar Hari Buletin 5.0 pada tahun depan lebih besar serta lebih bermakna dan lebih memberi impak.

Mengakhiri ucapan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada TLDM, negara-negara sahabat, pasukan media serta semua pihak yang menjayakan acara pada kali ini.

“Kita percaya penganjuran ini telah menghimpunkan ribuan pengunjung, termasuk peminat cilik penerbitan Buletin Mutiara dari Malaysia Timur yang hadir khusus untuk menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

“Sokongan sebegini amat bermakna untuk memantapkan lagi peranan Buletin Mutiara sebagai wadah komunikasi rakyat Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.

5790013e 9a49 4b97 aaef 41d3449b1a16
ACARA kebudayaan lokal dan dari beberapa negara anggota ASEAN turut dipersembahkan di pentas utama sesi petang Hari Buletin 4.0 Bersama TLDM di sini tadi.
1d42abdd 1fe3 43f8 b37e 36dc61624e7b
ACARA pancaragam TLDM antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Selain pancaragam dan kawad senyap TLDM, sekalian pengunjung turut dipersembahkan acara menarik lain seperti lintas laut Bot Perang Pantas TLDM serta lintas udara helikopter TLDM.

Bukan setakat itu sahaja, persembahan kebudayaan pelbagai bangsa, Boria Omara, demonstrasi Persatuan Chingay Pulau Pinang, pameran-pameran agensi dan gerai jualan yang pelbagai turut menambah kemeriahan karnival selama sehari di sini tadi.

Pada hujung acara, menyaksikan pengumuman pemenang utama pertandingan serta lima pemenang cabutan bertuah, dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal baharu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI