Hasil fi hotel diguna promosi sektor pelancongan negeri

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang memberitahu bahawa sejumlah RM10,685,455 fi kerajaan tempatan yang dikenakan terhadap penginap hotel di negeri ini digunakan untuk tujuan mempromosikan sektor pelancongan negeri.

Katanya, dari Julai 2014 hingga September 2015, sejumlah RM9,462,192 telah dikutip di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan RM 1,223,263 melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fi Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan Ketua Menteri telah mempersetujui bagi menjalankan beberapa program dan insentif dengan menggunakan jumlah fi yang telah dikutip.

“Program-program dan insentif ini adalah berkaitan dengan aktiviti promosi pelancongan sahaja (pada masa kini) dengan objektif untuk meningkatkan kadar kemasukan pelancong ke negeri ini bagi tahun 2016 dan seterusnya,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di sini.

Ucapan tersebut adalah sebagai menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee, Mohd. Zain Ahmad (ADUN Penaga) dan Sr. Muhamad Farid Saad (ADUN Pulau Betong).

Berkuatkuasa pada 1 Jun 2014 lalu, Fi Kerajaan Tempatan telah dikenakan kepada penginap hotel dengan kadar RM3 satu bilik satu malam (RM/bilik/ malam) bagi hotel empat dan lima bintang, hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk dormitori, hotel bajet, hostel dan sebagainya (RM2/bilik/malam).