Hasil siasatan JKKP tentukan tindakan susulan tanah runtuh Taman Seri Rambai

Admin
6d87ad1a 27e7 4e4e bb1a 3b4c95e6a140 (Dari kiri) JASON H’ng Mooi Lye, A. Rajendran dan Cheah Chin Kooi memberikan maklum balas berhubung isu berkenaan kepada pemberita selepas sesi pagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 ditangguhkan, di sini sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung status keselamatan kawasan cerun yang runtuh di Taman Seri Rambai, berhampiran Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong baru-baru ini, bergantung pada hasil siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, satu mesyuarat khas bersama agensi teknikal, termasuk JKKP, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT), akan dipengerusikan beliau pada 2 November 2026 bagi membincangkan perkembangan siasatan serta cadangan langkah mitigasi jangka panjang.

Susulan kejadian tanah runtuh pada 25 Oktober 2026, kira-kira pukul 8.36 pagi, Mooi Lye turut memaklumkan bahawa MBPP telah bertindak pantas mengeluarkan notis henti kerja tanah di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pihak pemaju.

Di samping itu, menurutnya, notis di bawah Seksyen 83 akta yang sama turut dikeluarkan bagi mengarahkan pengosongan empat buah rumah berisiko, iaitu rumah bernombor 1, 3, 5 dan 7, manakala dua buah rumah lagi, bernombor 9 dan 11, telah dibenarkan diduduki semula selepas penilaian keselamatan dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Timur Laut.

Bagi menangani risiko hakisan, khususnya ketika hujan berterusan, beliau berkata pihak pemaju terbabit telah diarahkan melaksanakan langkah mitigasi segera dalam tempoh 24 jam.

Tambah beliau, langkah tersebut merangkumi pemasangan penghadang keselamatan, penutupan permukaan cerun yang terdedah menggunakan geotekstil, pengalihan aliran air permukaan dari bahagian atas bukit ke saliran awam serta penyerahan pindaan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) bersama-sama laporan pemetaan cerun berisiko.

Dalam sidang media sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran mengesahkan bahawa JKKP telah memulakan siasatan di tapak sejak 29 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca kejadian serta meneliti kemungkinan wujud unsur kecuaian.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa cerun berkenaan tidak stabil dengan menjelaskan bahawa kerja-kerja penstabilan yang dilaksanakan sebelum ini merupakan prosedur standard yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Bukit.

Dalam pada itu, Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi juga mengesahkan bahawa kelulusan projek berkenaan diberikan mengikut spesifikasi dan syarat yang ditetapkan, termasuk penyediaan zon penampan.

Mooi Lye, Rajendran dan Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. Cheah Chin Kooi memberikan maklum balas berhubung isu berkenaan kepada pemberita selepas sesi pagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 ditangguhkan, di sini sebentar tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN