Hasrat bapa ganti dapur apam balik baru tercapai

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI ACHEH – Impian seorang bapa untuk meneruskan perniagaan sendiri bagi menyara dan memberi kehidupan lebih selesa kepada isteri serta lima anaknya tercapai apabila menerima bantuan dapur membuat kuih apam balik di sini baru-baru ini.

Jaafar Dahari, 48, dari Kampung Permatang Keling di sini berkata, beliau bersyukur kerana hasratnya untuk mengganti dapur (dapur membuat kuih apam balik) lama tercapai.

“Sebelum ini, memang niat nak tukar dapur baru, tetapi dengan pendapatan tidak seberapa, tak mampu juga nak tukar.

“Terima kasih atas keprihatinan Azmi (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri [PPK] Sungai Acheh, Azmi Samsudin) kerana memberi bantuan dapur ini.

Juga kepada penghulu, Encik Rusli Ismail,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Isterinya, Zarina Man, 44, merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, manakala anak ketiganya, Mohd. Shafiq Izzle, 14, merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Anak-anaknya yang lain ialah Nabilah Anida Farziana, 22, seorang jururawat, Mohd. Shafiq Izzuddin, 20, Mohd. Shafiq Izzre, 14, dan Nabilah Aufa Najihah, 10.

Setiap hari, Jaafar akan memulakan perniagaannya berhampiran Pasaraya Yawata, Nibong Tebal, manakala sebelah petangnya pula berhampiran Taman Pekaka, di sini.

Azmi ketika ditemui berkata, bantuan tersebut adalah hasil peruntukan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (PDTSPS).