Pada 3 Mei 2025, Hari Air Sedunia disambut meriah di perkarangan Empangan Air Itam.
Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow antara lain berkata sekiranya setiap individu di Pulau Pinang dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 liter sehari, negeri ini berpotensi menjimatkan sehingga 18 juta liter air sehari; yang mana jumlah itu adalah cukup besar dan bersamaan dengan kapasiti tujuh kolam renang bersaiz Olimpik.
Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata 10 liter air itu adalah bersamaan dengan kira-kira satu baldi bersaiz sederhana.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan turut menekankan peri penting menggunakan sumber air terawat negeri secara hemah.
Pada hari ini, kita sedang menghadapi perubahan iklim yang tidak menentu serta kejadian cuaca ekstrem yang tidak diduga, selain jumlah hujan yang turun juga semakin sukar dijangka.
Berdasarkan rekod tahun 2023, kawasan tadahan Empangan Air Itam di Pulau Pinang hanya menerima sebanyak 1,625 milimeter hujan, iaitu jumlah yang jauh lebih rendah berbanding purata tahunan biasa.
Keadaan ini memberi kesan ketara terhadap simpanan air mentah dan menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan bekalan air jangka panjang.
Justeru, langkah penjimatan air dan penggunaan air secara bijak adalah wajar bagi menghadapi krisis air pada masa hadapan.
Sebagaimana disebut oleh Kon Yeow, sasaran 250 liter per kapita sehari (LKH) bukanlah sesuatu yang mustahil jika setiap pengguna air di Pulau Pinang.
Periksa bil air dwi bulanan secara berkala.
Bil yang lebih tinggi daripada purata boleh menjadi petunjuk awal kepada pembaziran, kebocoran paip, atau tabiat penggunaan air yang tidak efisien.
Langkah-langkah lain yang efektif dan mudah diambil antaranya;
• Bandingkan bil air mereka mengikut bilangan penghuni di rumah, sebagaimana Rajah 1.0.
• ‘Ujian Meter Tengah Malam’ jika bil air anda masih tinggi atau mencurigakan bagi mengesan risiko kebocoran paip
• Segera baiki jika sah paip air bocor

Selain tiga langkah di atas, setiap pengguna juga boleh menjimatkan sehingga 9 liter padu air atau 270 liter sebulan, dengan mengurangkan masa mandi selama satu minit.
Dengan mengelakkan air paip mengalir semasa memberus gigi, antara pembaziran 5 hingga 10 liter air padu setiap sesi boleh dielakkan, yang mana menyamai penjimatan 600 liter padu sebulan bagi seorang individu.
Dengan menggunakan baldi, kira-kira 40 liter air diperlukan untuk mencuci sebuah kereta berbanding lebih 200 liter air padu jika menggunakan hos.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku syarikat operator air negeri telah acap kali memberikan panduan seperti di atas, cuma berjaya atau tidak bergantung hemah kita sebagai pengguna.
Pada masa yang sama, PBAPP giat melaksanakan penggantian paip lama sebagai usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW).
Kesannya, pada tahun 2024, kadar NRW di Pulau Pinang telah berjaya dikurangkan kepada 26.1 peratus, dan PBAPP menyasarkan penurunan lebih lanjut kepada 25 peratus menjelang tahun 2026.
Langkah PBAPP ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem agihan air, malah memastikan sumber air negeri digunakan secara optimum tanpa pembaziran.
Akhirnya, segala usaha Kerajaan Negeri dan PBAPP dengan menyasarkan penggunaan air secara hemah hanya akan berjaya jika setiap rakyat Pulau Pinang memainkan peranan asas iaitu elak pembaziran sumber utiliti tersebut tiap-tiap hari.
Solehin Zulkifli
Seksyen Komunikasi Korporat & Pengurusan Acara PBAPP