Himpunan Hijau 2.0 dicemari tindakan ganas “samseng”

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri (kanan sekali) dan Chow Kon Yeaw (dua dari kanan) menunjukkan banner yang membantah operasi Lynas dalam Himpunan Hijau 2.0 di Dataran Pidato, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (kanan sekali) dan Chow Kon Yeaw (dua dari kanan) menunjukkan banner yang membantah operasi Lynas dalam Himpunan Hijau 2.0 di Dataran Pidato, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Himpunan Hijau 2.0 yang berlangsung di Dataran Pidato, Padang Kota Lama mencatatkan detik hitam apabila dua wartawan (seorang wartawan dan seorang jurugambar) akhbar harian Bahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh cedera dipukul sekumpulan yang berlagak “samseng” di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 50 pemberontak tiba sekitar kawasan jam 6 petang mengeluarkan kata-kata kesat dan memberi amaran kepada orang ramai yang berhimpun secara aman bahawa isu Lynas itu bukan ‘isu Pulau Pinang’ sambil melaungkan slogan “Hidup UMNO”.

Walaubagaimanapun, kira-kira 1,000 umum yang berhimpun tidak mengendahkan ugutan mereka dan tidak sama sekali berganjak dari padang berkenaan. Malah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang tiba setengah jam kemudian dicaci dan dilemparkan dengan kata-kata kesat berbaur ugutan ketika beliau berucap.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan menyokong kilang penapisan nadir bumi bernilai RM700 juta yang dibina di Gebeng, Pahang kerana bahaya pencemaran bahan radioaktif. Malah, beliau turut menggesa rakyat agar tidak gentar dengan gertakan daripada kumpulan samseng berkenaan.

PEMANDU Lydia Ong Kok Fooi menunjukkan kerosakan pada plat nombor pendaftaran kereta rasminya angkara pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak ganas di Himpunan Hijau 2.0.
PEMANDU Lydia Ong Kok Fooi menunjukkan kerosakan pada plat nombor pendaftaran kereta rasminya angkara pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak ganas di Himpunan Hijau 2.0.

Keadaan menjadi semakin tegang sejurus Ketua Menteri beredar dari pentas bagi menghampiri orang ramai apabila kumpulan tersebut mengasak para hadirin sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran. Difahamkan, pada ketika itu, kedua-dua wartawan yang cedera dipercayai dipukul menggunakan topi keledar pihak tidak bertanggungjawab itu.

Kedua-dua wartawan berkenaan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk menerima rawatan. Wartawan, Andrew Chew, 29, telah menerima lapan jahitan di lengan, manakala jurugambar, Lee Hong Chun, 25, cedera di kepala akibat dihentak dengan topi keledar.

Himpunan Hijau 2.0 yang berlangsung di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang bagi membantah keputusan kerajaan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plant (Lamp) beroperasi di Gebeng. Perhimpunan tersebut sepatutnya berlangsung secara aman di seluruh negara kecuali di negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, beliau kesal dengan tindakan polis yang membiarkan keganasan berlaku sebelum dan selepas acara berlangsung.

“Sepatutnya, tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan negara dan mengawal keadaan apabila timbul kekecohan. Walaupun terdapat kereta peronda polis di kawasan tersebut, namun, tiada tindakan diambil terhadap kumpulan pemberontak berkenaan,” ujar Ketua Menteri dengan nada kesal ketika ditemui pada sidang medianya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, dipercayai kereta rasmi milik Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi turut dirosakkan oleh kumpulan samseng terbabit.

Dalam sesi sidang media berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku apabila kata-kata kesat dan ugutan dilemparkan kepada Ketua Menteri dan para hadirin yang hadir.

“Dataran Pidato dibina sebagai tempat untuk rakyat menyuarakan hak secara bebas dan aman. Jika kejadian seperti ini terus berulang, ini boleh menjatuhkan reputasi Pulau Pinang dan mengancam keselamatan orang ramai,”

“Kami (Kerajaan Negeri) tidak akan tunduk dengan keganasan yang ditunjukkan. Saya berharap agar pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat menimbulkan kekecohan pada hari tersebut,” tegas beliau.