Lesen pasar tani di Taman Negara dilulus

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah meluluskan permohonan lesen baru yang diusulkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menganjurkan Pasar Tani di Dataran Taman Negara, Teluk Bahang.

Pasar Tani tersebut dijadual bakal berlangsung pada hari Sabtu atau Ahad setiap minggu mulai jam 7 pagi sehingga 2 petang. Sebanyak 15 tapak telah disediakan dengan bayaran sebanyak RM80 sebulan akan dikenakan kepada pihak FAMA.

Namun, pihak FAMA perlu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan mematuhi syarat-syarat di bawah Garis Panduan Untuk Mengurus Dan Mengawal Aktiviti Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu dan Pasar Tani (pindaan Mac 2010).

Pengerusi Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, cadangan berkenaan diluluskan memandangkan ianya dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat. Di samping itu, dataran tersebut sememangnya menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

“Pasar Tani tersebut hanya dibenarkan menjalankan aktiviti jualan makanan ringan (tanpa masak) dan produk industri kecil dan sederhana sahaja. Kawalan trafik juga perlu disediakan oleh pihak penganjur untuk memastikan tiada kesesakan lalulintas.

“Manakala, segala struktur perlu dipindahkan daripada tapak dan memastikan kebersihan di tapak semasa dan selepas aktiviti pasar tani dijalankan,” ujarnya.