Hotel SPICE dalam pusat konvensyen mantapkan sektor perhotelan negeri

BAYAN BARU – Sektor perhotelan di Pulau Pinang bakal maju setapak lagi apabila Hotel SPICE yang dibangunkan di Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre (SPICE) dijangka siap menjelang tahun 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut memberitahu bahawa hotel bertaraf empat bintang berkaitan dijangka memulakan pembinaan pada tahun depan (2016) dan memerlukan tempoh dua hingga tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

“Ia adalah edisi hotel terbaru di negeri ini yang akan menjadi tarikan utama kerana kedudukannya yang terletak di dalam sebuah pusat konvensyen bertaraf antarabangsa.

“Dengan prasarana setinggi 25 tingkat, Hotel SPICE akan dilengkapi dengan 453 buah bilik dan bakal dibangunkan pemaju, S.P. Setia Bhd. Group dengan nilai pelaburan anggaran kirakira RM300 juta,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak SPICE di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Pengarah Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Pengurus Besar S.P. Setia Bhd. Group, Ng Han Seong.

Pembinaan SPICE yang keseluruhannya bernilai RM350 juta adalah hasil tender terbuka oleh MBPP yang dulunya dikenali sebagai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada tahun 2012.

Di bawah projek berkenaan, infrastruktur stadium utama dalam kawasan bekas Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) tersebut dinaiktaraf, manakala struktur lain telah dirobohkan dan didirikan dengan binaan baru yang lebih moden serta dinamik.

Menurut Han Seong, komponen SPICE mengandungi SPICE Arena (dulunya dikenali sebagai PISA), SPICE Kanopi, pusat akuatik dan sebuah pusat konvensyen baru iaitu SPICE.

“SPICE dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan (2016),” ujar beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);