Hujan luar biasa antara punca banjir di Teluk Bahang, Bayan Lepas – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Hujan luar biasa antara punca banjir kilat yang berlaku pada 18 dan 19 Julai lalu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang serta beberapa lokaliti lain sekitar KADUN Bayan Lepas dan Batu Maung.

Menurut Ketua Menteri Y.AB. Tuan Lim Guan Eng, purata taburan hujan di Teluk Bahang ketika itu sebanyak 250 milimeter (mm), suatu rekod yang tidak pernah berlaku sejak tahun 2008.

Menurut beliau, Kampung Paya, Kampung Suluk, Kampung Nelayan dan Kampung Masjid dekat Teluk Kumbar, Kampung Binjai dekat Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Pekan Bayan Lepas turut dilanda banjir kilat, dengan purata taburan hujan di KADUN Bayan Lepas sebanyak 65 mm sahaja.

Berhampiran KADUN Bayan Lepas, jelas beliau, Taman Iping dekat Batu Maung turut dilanda banjir kilat serupa.

“Seperti banjir di Teluk Bahang, tak pernah berlaku pun keadaan hujan lebat yang luar biasa sebelum ini.

“(Purata taburan hujan sebanyak) 250 milimeter ini, kalau pada musim kemarau adalah jumlah taburan hujan untuk satu bulan, bukan (dalam tempoh) lima jam seperti yang berlaku di Teluk Bahang, hingga mengakibatkan banjir,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Operasi Banjir & Pusat Penempatan Sementara dekat Teluk Kumbar di sini pada 19 Julai lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Batu Maung) dan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) turut sertai lawatan bersama-sama Guan Eng.

Sebelum itu, Guan Eng mendapatkan maklum balas berwajib mengenai bencana banjir daripada Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, Pegawai Daerah Barat Daya, Ederis Mat Din, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Ir. Sabri Abdul Muluk, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Unit Bahagian Bencana dan Operasi bagi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri, Mohd. Aizat Abdul Ghani dan Jurutera Tetap Projek Bayan Lepas (FT006), Haji Zamri Yusof.

Difahamkan, sebanyak 23 keluarga dari Teluk Kumbar dan lima keluarga lain dari Teluk Bahang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara di sini, dengan bantuan lima pegawai dan 10 anggota JPAM.

Menjawab soalan pemberita, Guan Eng memberitahu bahawa bantuan berwajib akan disalurkan kepada mangsa banjir sesegera mungkin, berdasarkan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang digariskan untuk rujukan Kerajaan Negeri.

“Semua mangsa banjir kilat di Dewan Komuniti Teluk Kumbar di sini, dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Encik Aizat dan bersabar.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan salurkan bantuan kepada mangsa mengikut SOP…ini SOP sama dan mesti diikuti, baik di peringkat Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Projek Tebatan Banjir Pada sidang media sama, Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sebelum ini telahpun meluluskan beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Daerah Barat Daya.

Antaranya, menurut beliau, RM2 juta untuk RTB Lembangan Sungai Bayan Lepas dekat Kampung Binjai, RM3.175 juta untuk RTB Taman Iping dan terbaru peruntukan sebanyak RM7.2 juta RTB Sungai Teluk Kumbar.

“Pada mulanya kita (MMK Tebatan Banjir) telah meluluskan pembinaan pam tambahan di rumah pam air yang sedia ada dengan perbelanjaan RM3 juta.

“Tetapi, setelah (mendapat maklum balas daripada) jururunding yang dilantik, maka kita (Kerajaan Negeri) putuskan untuk membina rumah pam yang baru, lebih dekat dengan muara Sungai (Teluk Kumbar) dan ini telahpun menambahkan kos sebanyak RM7.2 juta.

“Pam yang digunakan adalah pam yang lebih besar, dan kita percaya dapat mengurangkan risiko banjir di beberapa kampung yang sebelum ini adalah lokaliti utama dilanda banjir, akibat air pasang,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Mengulas isu sama, Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri pada tahun ini memperuntukkan kira-kira RM12 juta, untuk memajukan projek RTB di negeri ini.

Projek Pembangunan Selepas itu, Zamri pula memberi penjelasan mengenai punca banjir kilat di Kondominium Pavilion Resort dekat Teluk Kumbar dan flat Saujana dekat Bayan Lepas, yang terlibat dalam kerja-kerja pemajuan Projek Bayan Lepas (FT006) dan RTB di sini.

“JKR telahpun mengarahkan kita mempercepat projek ini…projek (naik taraf jalan dekat Bayan Lepas) ini akan siap pada hujung tahun depan (2017), tetapi projek pembentungan untuk air lalu dalam projek ini akan disiapkan pada hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita.

Guan Eng dalam reaksi spontan meminta penduduk setempat bersabar serta berharap projek penarafan jalan terbabit di sini segera siap.

“Apabila ia (sistem pembentungan) di Jalan Bayan Lepas ini siap pada akhir tahun ini, kita harap masalah banjir kilat di sini dapat dikurangkan,” ujarnya.

Banjir di PIA Mengenai banjir kilat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Sabri menjelaskan bahawa bencana di sana bukanlah berpunca oleh limpahan air dari Sungai Teluk Kumbar atau Sungai Bayan Lepas.

“Tiada limpahan air sungai ke sini (PIA)… rekabentuk lapangan terbang di sini dahulu memang hanya untuk menampung taburan hujan di sini.

“Tetapi, keadaan hujan yang terlalu lebat menyebabkan (rekabentuk) kolam takungan air yang sedia ada tidak mampu lagi menampung limpahan air dan ia mengakibatkan banjir kilat di sini,” jelasnya.

Kon Yeow pula memberitahu, pihak berkuasa PIA pada tahun lalu sebenarnya ada membina kolam limpahan air banjir di kawasan jajaran pesawat mendarat, namun, projek penarafan itu seakan masih tidak berjaya menangani bencana banjir kilat di sini.

Guan Eng turut menjelaskan bahawa banjir di PIA bukanlah disebabkan limpahan air sungai, tetapi berpunca daripada masalah rekabentuk fizikal asal lapangan terbang yang sedia ada.

“Memang tiada sungai untuk air melimpah masuk ke sini (PIA), jadi, kamu (JAS) kena tanya (pihak berkuasa) Lapangan Terbang (Antarabangsa Pulau Pinang) lah,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sekali lagi menasihatkan Kerajaan Pusat supaya menyegerakan kelulusan peruntukan berwajib untuk projek penarafan PIA, demi kepentingan rakyat Malaysia di Pulau Pinang.