Gazebo untuk rekreasi erat silaturahim penduduk

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menyumbang sejumlah RM20,000 melalui peruntukan kawasannya bagi membina sebuah gazebo dekat Jalan Pisang Emas, Kampung Melayu di sini.

Hon Wai berkata, pembinaan gazebo tersebut merupakan sebahagian daripada usaha bagi mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja kondusif, malah selesa untuk didiami.

“Apabila ada gazebo ini, penduduk setempat dapat meluangkan masa untuk bersantai dan berekreasi bersama-sama keluarga atau jiran tetangga selain mengeratkan silaturahim masyarakat berbilang kaum di sini,” katanya kepada pemberita sejurus mengadakan tinjauan di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid, Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Seratus, Yaakob Abu Bakar dan wakil Jawatankuasa Penduduk Rumah Seratus, Lim Kok Seong.

Pembinaan gazebo seluas 30 kaki persegi itu dimulakan sejak pertengahan Jun lalu dan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.