Hutang terkumpul, tunggakan P. Pinang kepada Pusat paling rendah

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Hutang terkumpul Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan sehingga tahun 2015 sejumlah RM69.36 juta adalah paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tunggakan Kerajaan Negeri sejumlah RM1.49 juta juga direkodkan paling rendah, sekaligus mencerminkan kejayaan tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri secara integriti dan berhemah.

“Kejayaan ini adalah kerana Kerajaan Negeri tak makan wang.

“Kita hanya hutang 0.41 peratus sahaja daripada keseluruhan (RM16.8 bilion) hutang semua Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis rasmi di Wisma Yeap Chor Ee di sini baru-baru ini.

Pada tahun 2008, Guan Eng memberitahu, pentadbirannya mewarisi hutang terkumpul sejumlah RM625.44 juta daripada pemimpin Kerajaan Negeri era Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Hutang terkumpul Kerajaan Negeri Johor kepada Kerajaan Persekutuan sehingga tahun 2015 sejumlah RM249.01 juta direkodkan di kedudukan kedua paling rendah, diikuti Perlis (RM373.17 juta), Perak (RM608.63 juta), Terengganu (RM909.48 juta), Negeri Sembilan (RM942.76 juta), Melaka (RM950.97 juta), Selangor (RM1.03 bilion), Kelantan (RM1.34 bilion), Kedah (RM2.28 bilion), Sarawak (RM2.53 bilion), Sabah (RM2.61 bilion) dan terakhir adalah Pahang (RM2.92 bilion).

Tambahnya, tunggakan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat pada tahun 2015 juga adalah paling rendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu sebanyak RM1.49 juta sahaja.

Di kedudukan kedua adalah Sarawak dengan jumlah tunggakan RM18.26 juta, diikuti Selangor (RM27.09 juta), Sabah (RM30.18 juta), Perak (RM56.22 juta), Johor (RM69.74 juta), Negeri Sembilan (RM156.73 juta), Perlis (RM197.64 juta), Kelantan (RM306.86 juta), Melaka (RM337.84 juta), Terengganu (RM450.84 juta), Pahang (RM836.32 juta) dan Kedah (RM893.74 juta).

Dalam kenyataan berasingan sebelum itu, Guan Eng turut menjelaskan mengenai isu nyah hutang Kerajaan Negeri kira-kira RM600 juta, melalui persetujuan bersama berhubung penghijrahan aset air negeri kepada Kerajaan Pusat pada tahun 2011.

“Nyah hutang Kerajaan Pulau Pinang hari ini (kira-kira RM600 juta) bukan dilakukan secara percuma. “Kalau nak terima kasih, Kerajaan Pusat pun kena terima kasih kepada kita kerana dia dapat aset,” responsnya pada gambaran serong yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang Pulau Pinang.

Beliau turut respons pada kenyataan Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Tan Teik Cheng yang menyebut “Federal Govt wiped off state’s debts”, dalam akhbar berbahasa Inggeris pada 18 April lalu.

Baginya, Teik Cheng seakan tidak memahami maksud sebenar ‘tunggakan’ dan ‘jumlah hutang terkumpul’ ketika mengulas mengenai pencapaian Kerajaan Negeri hari ini.

“Hutang adalah jumlah hutang (terkumpul)… tunggakan adalah yang sepatutnya anda bayar secara ansuran tetapi tidak bayar.

“Mungkin (pemimpin) MCA tak faham apa beza jumlah hutang dan tunggakan,” seloroh Guan Eng.