PERDA, mana rumah murah? soal KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini mempersoalkan ketelusan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) untuk membangunkan rumah murah di Kampung Tok Keramat, Seberang Perai Selatan (SPS) Beliau berkata, PERDA sendiri mengaku bahawa tanah seluas 8.5 ekar dijual dengan kerugian RM15.2 juta bagi membolehkan pembinaan rumah murah untuk rakyat.

Namun, jelas Guan Eng, sehingga ke hari ini, hanya permohonan untuk membangunkan 27 unit rumah kedai diterima daripada PERDA.

“Mana rumah murah?

“(Pembangunan) rumah murah perlu didahulukan, namun sehingga ke hari ini, hanya permohonan membina rumah kedai diterima.

“Jika inipun (mendahulukan pembangunan rumah murah) PERDA tak tahu, baik gulung tikar sahaja. “(Kerana) perlu diingatkan bahawa tanah tersebut merupakan tanah awam dan ia melibatkan kepentingan awam,” ujarnya.

Dalam sidang media berasingan, Guan Eng menganggap PERDA yang dipengerusikan oleh Datuk Shabudin Yahaya seakan mengkhianati kepentingan rakyat kerana tanah awam tersebut dijual di bawah nilai pasaran sebenar serta ‘murah’.

“Sepatutnya dibina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya ia serentak dengan projek pembangunan (bercampur) yang lain, bukannya didahulu projek pembangunan lot kedai sahaja.

“Bagaimana tanah yang diambil daripada rakyat boleh PERDA jual dengan harga yang murah, tetapi tidak dibina rumah ‘murah’ untuk rakyat pula,” soalnya sambil sekali lagi mencabar Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor untuk berdebat secara terbuka mengenai isu berbangkit tersebut.