Ibu lumpuh dapat kerusi roda

Admin

KEBUN BUNGA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Akibat serangan angin ahmar, seorang suri rumah terjatuh dari kerusi didudukinya lalu lumpuh di sebelah kaki kirinya.

Prihatin dengan nasib menimpa suri rumah, Wan Zaharah Nor, 52, berkenaan, Ahli Parlimen Bukit Bendera tampil menyempurnakan majlis penyampaian bantuan berupa sebuah kerusi roda dekat kediamannya di Blok J, Perumahan Awam Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Bagi Wan Zaharah, beliau amat berbesar hati dengan pemberian kerusi roda yang bakal memudahkan pergerakkannya sejak lumpuh kaki kiri tujuh bulan lalu.

“Ketika saya mendapatkan rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) tahun lalu, doktor mengesahkan bahawa saya mengalami angin ahmar yang tidak serius, namun selepas itu, saya merasakan badan terlalu lemah hingga terjatuh dari kerusi sebelum kaki kiri mengalami masalah lumpuh.

“Selain lumpuh, saya turut menghidap kencing manis, darah pekat dan kolestrol tinggi,” ujarnya yang dikurniakan tiga cahaya mata kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Suaminya, Harun Hamid, 51, merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta di sini.

Anak sulung beliau, Siti Ayuni Harun kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang fesyen, kedua, Mohd Syazli, Universiti Sultan Zainal Abidin (USZA) Terengganu, jurusan perubatan, anak bongsu, Siti Shamimi, pelajar Tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St George’s yang merupakan sekolah kluster.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen berkenaan, Zairil Khir Johari menyatakan bahawa pusat khidmatnya akan berusaha mendapatkan peralatan ataupun barangan diperlukan bagi membantu golongan memerlukan di kawasannya.

“Contohnya, kerusi roda bernilai RM300 yang disumbangkan ini (kepada Wan Zaharah) merupakan hasil sumbangan komuniti di situ sendiri.

“Malah, dalam kes sebelum ini, iaitu membabitkan dua beradik cemerlang dalam bidang akademik, hasil sumbangan pihak-pihak tertentu, kami (pusat khidmat) berjaya menyampaikan sebuah komputer bagi membantu pelajaran kedua-dua mereka yang berasal dari keluarga kurang mampu,’’ jelas beliau.