IJM Promenade dikenali Persiaran Karpal Singh

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG– Lebih 100 orang menyertai program kayuhan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dari Padang Kota Lama dekat George Town menuju ke IJM Promenade di sini sempena majlis memperingati mendiang Karpal Singh baru-baru ini. Guan Eng dalam ucapannya memberitahu, IJM Promenade dinamakan Persiaran Karpal Singh sebagai mengingati sumbangan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut yang dianggap besar pada pembangunan negara dan rakyat Pulau Pinang.

“Persiaran Karpal Singh memang sangat cantik…sama cantik dengan prinsip perjuangan dan idealisme kita punya Karpal Singh,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Anak sulung mendiang Karpal, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap ADUN Datuk Keramat turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli ParlimenTanjong, Ng Wei Aik, Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubong) dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong dan beberapa pemimpin negeri lain.

Guan Eng berkata, Karpal dikenali sebagai pengamal undang-undang dan ahli politik yang mempunyai prinsip berdasarkan perlembagaan.

Sementara itu, hampir 500 hadirin turut menyertai majlis memperingati mendiang Karpal dalam satu program berasingan di dewan Sekolah Tinggi Han Chiang dekat George Town, walaupun disambut oleh hujan renyai. Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan isteri, Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) serta dua anak lelaki Karpal, Jagdeep dan Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong) antara tetamu yang hadir.

“Walaupun Karpal tetahpun meninggalkan kita, perjuangannya mempertahan hak rakyat seperti dijamin dalam perlembagaan akan terus kita perjuangkan, tidak kira dinegeri ini atau di Malaysia,” ujar Guan Eng pada majlis itu.

Terdahulu, Guan Eng dalam reaksi spontan kepada wartawan pada upacara penghormatan terakhir di rumah mendiang dekat Kebun Bunga ada menyatakan hasrat untuk menamakan mana-mana jalan sempena nama tokoh ahli politik negara berkenaan.

Difahamkan, Karpal, dilihat paling lantang mempertahankan prinsip perjuangan bersama rakyat semasa menjadi Ahli Parlimen Jelutong, hingga digelar ‘Tiger of Jelutong’.

Mendiang, maut dalam satu nahas jalan raya pada awal pagi 17 April lepas bersama-sama seorang pembantunya. Dianggarkan, majlis penghormatan terakhir kepada Karpal selama tiga hari dari hari kejadian di negeri ini menerima hampir 50,000 hadirin dari pelbagai pelusuk negara.

Pemahsyuran IJM Promenade sebagai Persiaran Karpal Singh baru-baru ini adalah sempena mengingati jasa tokoh berkenaan.