Jalan Bukit Kukus manfaat 60,000 penduduk

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang bakal melaksanakan pembinaan jalan berkembar Jalan Paya Terubong dikenali Jalan Bukit Kukus di sini membabitkan peruntukan kira-kira RM300 juta bagi menyuraikan kesesakan lalulintas sekaligus memberi manfaat kepada 60,000 penduduk di sekitarnya baru-baru ini di sini.

Keputusan tersebut dibuat ekoran permohonan Kerajaan Negeri kepada Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf Jalan Paya Terubong tidak diluluskan sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, oleh yang demikian, Kerajaan Negeri terpaksa bertindak sendiri untuk menyelesaikan masalah lalulintas di sepanjang Jalan Paya Terubong.

“Hanya satu jalan arterial sahaja iaitu Jalan Paya Terubong yang menjadi pengagih utama lalulintas di kawasan ini.

“Ia adalah perantaraan penting antara kawasan Air Itam, Paya Terubong, Balik Pulau dan Relau di sini.

“Isipadu aliran lalulintas di kawasan ini telah meningkat ke tahap sesak terutama pada waktu puncak.

“Tanpa pelebaran jalan dan persimpangan atau penyediaan laluan alternatif, masalah kesesakan bukan sahaja akan berterusan tetapi bertambah teruk,” ujarnya pada Majlis Pengumuman Pembinaan Jalan Bukit Kukus di Paya Terubong baru-baru ini di sini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye dan Timbalan Pengarah Kejuruteraan, Ir. A. Rajendran turut hadir sama.

Kata Guan Eng, pembinaan jalan sepanjang 4.87 kilometer tersebut adalah bermula dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuh Bukit Jambul dan kos RM300 juta, separuhnya ditanggung Kerajaan Negeri, serta baki, pemaju swasta.

“Yang baki separuh ini akan dibina oleh pemaju sebagai kewajipan memperoleh kelulusan pembangunan. Manakala, untuk bahagian yang dibina Kerajaan Negeri, tender terbuka akan dipanggil,’’ jelas beliau.

Serentak itu, Kerajaan Negeri turut akan membina laluan tukarantara (Interchange) di persimpangan Jalan Paya Terubong/Jalan Tun Sardon/Jalan Bukit Kukus sepanjang 1.43 kilometer.

Guan Eng memberitahu, ekoran lokasi jajaran jalan berkembar terletak di bahagian tanah bercerun, maka, penstabilan cerun adalah perlu dilakukan.

“Rizab jalan yang lebih lebar akan disediakan menjadikannya empat laluan utama.

“Projek ini yang merentasi bukit berbatu memerlukan pembinaan yang teliti,” jelasnya.