Imunisasi lebih murah berbanding rawat hepatitis – Exco

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, imunisasi merupakan antara kaedah yang lebih murah untuk mencegah hepatitis, berbanding merawat mereka yang mengidap penyakit tersebut.

“Hepatitis memang boleh dicegah dan boleh diubati walaupun tidak terlalu murah untuk imunisasi ke atas bayi baru lahir.

“Tetapi, kos untuk merawat pesakit ini adalah lebih mahal berbanding kos imunisasi ke atas bayi baru lahir, dan kerana itu langkah pencegahan lebih baik daripada merawat,” ucapnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada sambutan Hari Hepatitis 2015 Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Presiden Malaysian Liver Foundation (MLF), Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, Datuk Dr. Nor Shahidah Khairullah (Ketua Pegawai Eksekutif MLF), Datuk Dr. Robert Ding (pengerusi penganjur merangkap Naib Presiden MLF) dan Khor Siang Gin (Pengarah Urusan Hunza Properties Berhad) turut menyertai majlis tersebut.

Menurut Afif, kira-kira 2.5 juta warganegara keradangan hati, dengan majoriti yang pengidap sakit Hepatitis B.

Serentak itu, beliau turut memuji pergerakan sukarelawan MLF kerana menganjurkan majlis sambutan untuk tahun ke-15 pada kali ini, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Ia adalah satu-satunya badan kebajikan sukarela , bukan keuntungan dan khusus pada aspek pendidikan awam, latihan doktor dan penyelidikan dalam semua aspek penyakit hati, terutama hepititis serta kanser hati,” jelasnya sebelum dilangsungkan program semakan kesihatan berkaitan di sini.

Hari Hepatitis Sedunia disambut pada tanggal 28 Julai tiap-tiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global mengenai penyakit Hepatitis B dan Hepatitis C, serta mendorong langkah pencegahan, semakan kesihatan serta rawatan berwajib.