SPT terima RM891,000 peruntukan Projek Ekonomi Khas

PENANTI – Sebanyak RM891,000 telahpun dibelanjakan di bawah Projek Ekonomi Khas Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk membina lapan unit rumah baru dan membaiki 36 unit rumah, serta membeli 10 peralatan perniagaan, yang dipohon oleh orangperseorangan dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, peruntukan tersebut adalah benar-benar bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan serta penggerak perniagaan desa untuk memulihkan ekonomi masingmasing di negeri ini.

“Walaupun hampir semua kawasan kampung berada di luar bandar atau pinggir pekan-pekan kecil, tetapi masih ramai lagi perlu dibantu oleh Kerajaan Negeri.

“Peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.2 juta di bawah Projek Ekonomi Khas ini, kita (Kerajaan Negeri) agih berdasarkan keperluan, yang meliputi kelima-lima daerah, seperti SPT mendapat peruntukan sebanyak RM891,000,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Program Jelajah Desa Peringkat Daerah SPT di sini baru-baru ini.

Pegawai Daerah SPT, Zulkifli Long turut sertai program turun padang tersebut.

Selain itu, Afif turut memberi ulasan mengenai keadaan pembangunan infrastruktur asas seperti keadaan jalan desa yang berlubang serta kekurangan lampu jalan.

Kata beliau, pihaknya akan cuba mengetengahkan beberapa isu berbangkit tersebut dalam mesyuarat berwajib di peringkat negeri, demi keselesaan hidup komuniti desa.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui UPEN memperuntukkan RM2.2 juta di bawah Projek Ekonomi Khas, meliputi kelima-lima daerah di bahagian pulau dan Seberang Perai.if (document.currentScript) {