Jadikan masjid medan muzakarah “Islam Rahmatun Lil ‘Alamin” – Exco

Oleh : WATAWA N ATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PADANG KOTA – Masjid seharusnya terus dijadikan medan ilmu dan muzakarah oleh tokoh ilmuan di tanah air ini, dan bukan terbatas pada aktiviti ibadah khusus seperti solat semata-mata.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata demikian semasa berucap pada malam peluncuran Konvensyen Al-Islam Rahmatun Lil ‘Alamin Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

“Kita patut contohi kegemilangan Kerajaan Islam di zaman pemerintahan Khalifah, kegemilangan Islam di Andalusia ( Sepanyl ) dan kegemilangan zaman ilmuan Islam yang membawa manfaat kepada seluruh umat pada ketika itu.

“Dalam menuju pembangunan ummah di Pulau Pinang, kita turut akan bermuzakarah antara masjid seluruh negeri bagi memaksimakan penggunaan masjid untuk kepelbagaian aktiviti selain ibadat semata-mata,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung di sini baru-baru ini.

Malah, tambah Abdul Malik, penghayatan maksud “Islam sebagai Rahmat Ke seluruh Alam” yang cuba disemarakkan oleh Kerajaan Negeri sepatutnya meliputi semua komuniti di negeri ini, bukan hanya berlegar dalam kalangan umat Islam sahaja.

“Sejajar dengan tema (Al-Islam) Rahmatun Lil Alamin, agama Islam tidak harus dipandang hanya kepada sesuatu komuniti sahaja, bahkan perlu menjadi contoh baik kepada seluruh umat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya menamakan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sebagai seorang pemimpin bukan Islam yang memahami nilai-nilai universal dituntut dalam Islam.

“Ketika beliau (Guan Eng) berucap, beliau mampu memberi contoh seperti amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan, mencegah kemungkaran) dan meneladani kepimpinan khalifah Islam Umar Abdul Aziz dalam menjalankan pentadbiran bersih serta berjiwa rakyat.

“Dari sini, kita boleh melihat Rahmatun Lil Alamin itu dapat mempengaruhi bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam turut tertarik dengan keindahan dari teladan yang dianjurkan,” ujar Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Malam kemuncak konvensyen tersebut dirasmikan sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afir Bahardin, Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) serta penceramah merangkap tetamu khas, Mufti Kerajaan Zimbabwe, Ismail Menk.

Ismail, dalam pidatonya mengupas dengan lebih lanjut surah Al-Anbiya, ayat 107 yang bermaksud,“Kami tidak mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.”Beliau turut menyatakan umat Islam pada hari ini adalah lebih penting untuk kembali kepada ajaran sebenar Islam yang sangat indah, supaya lebih dihormati oleh orang lain.

Konvensyen yang mengambil masa selama tiga hari tersebut turut diserikan dengan diskusi mengenai Pembelaan Hak Wanita Dalam Islam, Peranan Islam Dalam Perlembagaaan Malaysia, Fungsi Mahkamah Syariah Dalam Pembentukan Masyarakat, Masjid Sebagai Pusat Pembangunan, Hak Asasi Manusia, Urus Tadbir Yang Baik dan Pembudayaan Ilmu.} else {