MPSP perbaharui ikrar, komited tingkat perkhidmatan

SEBERANG JAYA – Para kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini memperbaharui ikrar k u a l i t i d a n i k r a r kakitangan di hadapan Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif bersempena Perhimpunan Korporat Ke-dua Bagi Tahun 2015 pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit di sini.

Maimunah semasa menyampaikan ucapan beliau menyeru supaya semua kakitangan MPSP melaksanakan bacaan ikrar yang diketuai Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

“Saya berharap agar ikrar tersebut bukan hanya sekadar dibaca, tetapi hendaklah dilaksanakan seperti mana yang telah dilafazkan.

“Perlu diingatkan bahawa pelaksanaan ikrar tersebut akan membantu meningkatkan imej MPSP di samping komitmen penyampaian perkhidmatan bermutu tinggi kepada penduduk Seberang Perai secara keseluruhan,” katanya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut serta pada perhimpunan itu adalah Ahliahli Majlis MPSP dan ketua-ketua jabatan.

Tambah Maimunah, setiap kakitangan MPSP perlu mengetahui tugas dalam jabatan dan bidang kuasa masing-masing supaya tiada isu yang dibangkitkan seperti (isu) kebersihan khususnya.

“Pegawai atau kakitangan MPSP perlu faham dan ada maklumat tentang bidang tugas Majlis dalam pelaksanaan inisiatif pembersihan jalan, longkang dan pemotongan rumput.

“Maklumat-maklumat ini adalah penting untuk membezakan tanggungjawab penyelenggaraan antara Jalan Persekutuan dengan jalan negeri dan bandaran serta skop bidang kuasa MPSP berbanding Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat dan JKR negeri,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Maimunah turut berpesan kepada para kakitangan MPSP supaya menunjukkan contoh yang baik dengan berjimat cermat dan tidak membazir makanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Ini adalah bagi mengurangkan penghasilan sisa makanan yang mana berdasarkan laporan bahawa sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, sebanyak 9,000 tan sisa makanan dihasilkan secara purata setiap hari di negara ini,’’ jelasnya.