Inovasi hab IT-BPO lonjak ekonomi pendapatan tinggi – KM

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Pelancaran Hab Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (ITBPO) bernilai RM3.3 bilion berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini pada 1 Mac lepas diharap dapat mengelak perangkap pendapatan pertengahan, selain, melonjak ekonomi negeri ke tahap berpendapatan tinggi.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, inovasi itu kerana kunci kejayaan ekonomi masa depan bukan lagi bergantung pada sektor pembuatan sematamata, malah, sektor perkhidmatan serta partisipasi Kerajaan Negeri sendiri sebagai teras utama kejayaan.

“Hab ini adalah perkongsian tiga teras, iaitu sektor pembuatan, perkhidmatan dan Kerajaan.

“Sektor perkhidmatan, termasuk bukan sahaja pelancongan, rawatan perubatan dan pendidikan, tetapi, perkhidmatan dikongsi, IT (Teknologi Maklumat) dan BPO (Penyumberan Luar Proses Perniagaan) seperti kewangan , perakaunan dan pemprosesan data,” ujarnya pada majlis pelancaran hab futuristik tersebut di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut berucap pada majlis
rasmi itu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Law Choo Kiang (Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Datuk Redza Rafiq (Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, NCIA) dan Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) antara dif kehormat yang hadir pada majlis rasmi tersebut.

Jelas Guan Eng, hab tersebut akan membantu syarikat-syarikat di negeri ini untuk mengambil kesempatan daripada perniagaan yang diterima di peringkat global serta model operasi berkaitan kelak.

Abdul Wahid semasa menyampaikan ucapan perasmian berkata, Putrajaya sendiri sebenarnya berkongsi hasrat dengan Kerajaan Negeri untuk melahirkan ekonomi berpendapatan tinggi lagi kondusif menjelang tahun 2020.

“Kita mahu ekonomi kita bergerak lancar tanpa meminggirkan mana-mana rakyat Malaysia.

“Untuk itu, apabila kita memperkatakan mengenai peningkatan ekonomi, kita mahukan pendapatan kita juga meningkat,” jelas Abdul Wahid, mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.