Menderma jayakan projek Tech-Dome Penang

Admin

GEORGE TOWN – Penang Tech Centre Berhad (PTCB), sebuah syarikat yang ditubuhkan bagi menjayakan misi penubuhan pusat sains di negeri ini menyeru semua pihak untuk turut sama menjayakan projek Tech-Dome Penang (TDC) berlokasi di Dewan Tunku atau Dome, Komtar di sini.

Pengarah projek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, projek bernilai RM23 juta tersebut lazimnya memerlukan suntikan dana yang banyak.

“Daripada jumlah tersebut, RM10juta akan digunakan untuk bahan-bahan pameran, pembinaan serta ubahsuai (RM12juta) dan operasi (RM1 juta).

“Setakat ini, kami melalui PTCB telah menerima bantuan bernilai RM4.8 juta daripada pihak swasta dan Kerajaan Negeri (RM1.15 juta),” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Selain menggalakkan penglibatan dalam bidang sains, TDC juga menjadi sebahagian mercu tanda Pulau Pinang.

Tambah Soo Huey, misi pembinaan TDC ini antaranya adalah untuk menjadikan generasi kanak-kanak kini sebagai pelopor kepada bidang sains dan teknologi, memupuk semangat cintakan bidang sains, berjalan seiring dengan kemajuan teknologi dunia serta menggabungkan teknologi, industri serta manusia.

“Hasil kajian dikemukakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), penglibatan warga Malaysia dalam bidang sains adalah hanya sekitar 37.7 peratus sahaja,’’ jelas beliau.

Bagi yang berminat untuk memberi sumbangan, layari laman sesawang, www.techdomepenang.org atau hubungi PTCH di talian 016 – 466 6655 untuk menderma secara individu, korporat atau lain-lain. Setiap sumbangan bakal mendapat pengecualian cukai.