PUSAT Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas kerap terlibat dalam pelbagai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kursus Internet Pelbagai Benda (Internet of Things, IoT) khusus untuk tenaga pengajar dan pelajar.
Antara salah satu projek yang telah berjaya mengharumkan nama ILP Kepala Batas adalah menerusi Projek Inovasi IoT Driven Telemetry and Smart Journey Analytics yang diterajui oleh tenaga pengajarnya, TS. MOHD. SHAHRIL AFFANDI ABDUL MAJID.
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejayaan pasukannya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shahril, reka bentuk penghasilan projek berkaitan adalah memfokuskan amalan pemanduan yang lebih selamat serta menyokong pengangkutan yang mesra alam.
“Sebenarnya, projek ini telah diusahakan sebelum ini lagi, yang mana telah menjadi satu kebanggaan kepada saya dan pasukan di atas kemenangan pingat emas menerusi Pertandingan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2025 yang telah diadakan dekat Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini.
“Pasukan saya tidak melibatkan pelajar, hanya saya dan tiga tenaga pengajar lain dalam projek ini iaitu Madinah Radin; Kapt. Bersekutu (PA) Amran Ab. Razak dan Lt. Bersekutu (PA) Mohd. Musif Morad.

“Projek ini memanfaatkan data sensor masa nyata, termasuk Sistem Penentu Sejagat (Global Positioning System, GPS) dan pengukuran suhu yang digabungkan dengan analitik pelayan lanjutan untuk meningkatkan pemantauan dan keselamatan kenderaan.
“(Maka), peranti IoT tersebut akan menghantar kadar metrik utama seperti lokasi, kelajuan, dan jarak melalui Wi-Fi untuk memastikan penjejakan jarak yang tepat menggunakan formula Haversine.
“Pengguna bakal mendapat manfaat daripada papan pemuka interaktif yang memaparkan peta, amaran dan log perjalanan, yang membantu mereka mengenal pasti corak pemanduan, jadual penyelenggaraan secara proaktif serta mengoptimumkan kecekapan bahan api.
“Papan pemuka interaktif telah direka khusus kepada kenderaan peribadi, komersial dan jentera pertanian sebagai penyelesaian inovatif untuk mempromosikan amalan pemanduan yang lebih selamat, mengurangkan kos operasi serta menyokong pengangkutan mesra alam,” jelasnya semasa sesi wawancara khas pada 3 Jun lalu.

Tambah Mohd. Shahril, peranti tersebut mampu memaparkan kadar had kelajuan bukan sahaja berdasarkan rekod di dalam negeri, malahan juga negara luar.
“Contohnya, jika saya memandu di negara Thailand, peranti tersebut akan memaparkan pemberitahuan mengenai had kelajuan di sana bagi mengelak disaman.
“Mungkin ada ketikanya pemandu tidak perasan papan tanda had kelajuan, maka peranti ini akan memainkan peranan penting sebagai peringatan.
“Selain itu, ciri keadaan trafik turut dipaparkan bagi mengetahui dan merancang perjalanan ke destinasi yang ingin dituju, misalnya keadaan trafik sesak atau dalam keadaan baik.
“Rekod perjalanan saya dari rumah ke tempat kerja juga ada menerusi catatan masa bertolak dan masa ketibaan yang tepat, pada pendapat saya ciri rekod perjalanan ini sangat berguna jika majikan bertanya sebab hadir lewat ke tempat kerja, atau sebagai tujuan forensik jika berlaku kemalangan jalan raya,’ ’jelasnya.


Mengulas lanjut, Mohd. Shahril menyatakan bahawa untuk projek berkenaan, aspek keselamatan amat dititikberatkan, jadi sistem ini tidak boleh diakses sewenang-wenangnya oleh pihak ketiga atau mana-mana sekalipun.
Bercakap mengenai cabaran, beliau tidak menafikan bahawa proses pelaksanaan projek tersebut adalah agak mencabar dek perlu bersaing dengan teknologi yang kian canggih.
“Data yang diperoleh adalah berdasarkan formula Haversine yang digunakan bagi mengira titik di permukaan bumi berdasarkan garis lintang (latitud) dan garis bujur (longitud).
“(Dan) formula ini turut mengambil kira bentuk bumi yang sfera, jadi pengiraan jarak adalah lebih tepat berbanding pengiraan jarak biasa.
“Melalui rekod perjalanan (mileage) kereta, kesemua data log perjalanan membantu peranti IoT mengenal pasti corak pemanduan, jadual penyelenggaraan secara proaktif dan mengoptimumkan kecekapan bahan api.
“Dengan penerapan teknologi ini, bukan sahaja keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan dapat ditingkatkan, malah ia juga membuka ruang kepada pembangunan sistem pintar yang lebih efisien serta mesra pengguna pada masa hadapan,” ujarnya sambil menekankan bahawa adaptasi terhadap perubahan teknologi merupakan langkah penting dalam merealisasikan mobiliti masa depan yang lestari.