Insentif sebagai galakan & penghargaan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Atlet angkat berat negara yang merupakan anak jati Pulau Pinang, Zulhelmi Md. Pisol, 21, menerima insentif khas Kerajaan Negeri berjumlah RM20,000 ekoran aksi cemerlang pada kejohanan Sukan Komanwel Ke–20 di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Beliau menerima pengiktirafan tersebut ekoran kejayaan merangkul pingat Perak dan merupakan penyumbang pertama pingat negara menerusi sukan Angkat Berat Kategori 56 Kilogram (kg).

Turut bersamanya, lima atlet lain termasuk Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang menerima insentif RM40,000 ekoran kejayaan merangkul pingat Emas Persorangan Wanita ; Ooi Tze Liang (3 meter Papan Anjal, Emas dan 10 meter Platform, Perak Akuatik Terjun, keseuruhan RM60,000) ; Chan Peng Soon dan Tee Jing Yee (Badminton Campuran Berpasukan, Emas, masing-masing RM7,500) ; Azalina Arshad (Boling Padang, Fours, Perak, RM5,000).

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut menemani, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon bersama-sama Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng.

Zulhelmi ketika ditemui berkata, kejayaan memenangi pingat Perak adalah amat bermakna buat dirinya memandangkan ia adalah penyertaan sulungnya dalam sukan berprestij kedua terbesar dunia.

“Ini adalah penyertaan pertama saya.

“Syukur alhamdulillah, ianya membuahkan kejayaan setelah saya melalui latihan seawal usia 13 tahun di bawah jurulatih dari Bulgaria,” ujarnya yang turut menjadikan jaguh angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim sebagai idolanya pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Komanwel Glasgow 2014 Kerajaan Negeri di Komtar di sini baru-baru ini.

Ketika ditanya berhubung perancangan ekoran penerimaan insentif berkenaan, Zulhelmi yang hadir bersama-sama kedua ibu bapanya memberitahu bahawa beliau ingin memfokuskan kepada kejohanan Sukan Asia Ke-17, Incheon, Korea Selatan terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyifatkan sumbangan tersebut adalah keputusan berani dibuat Kerajaan Negeri apabila memperuntukkan RM140,000 iaitu setengah daripada jumlah insentif disumbangkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ini adalah sebagai galakan dan penghargaan kepada mereka kerana telah mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia.

“Harapan agar lebih ramai anak muda mengikuti jejak langkah kejayaan mereka dan menempa kejayaan di peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Sukan Komanwel Ke-20 telah berlangsung di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Kontinjen negara dengan kekuatan seramai 269 atlet dan pegawai telah menyertai 14 daripada keseluruhan 17 jenis sukan yang dipertandingkan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 16 atlet adalah merupakan anak jati Pulau Pinang yang mengambil bahagian dalam lapan jenis sukan iaitu Akuatik Terjun, Angkat Berat, Badminton, Berbasikal, Boling Padang, Hoki, Skuasy dan Menembak.