35% REBAT TARIF AIR PERNIAGAAN UNTUK SEKTOR PEMBINAAN

Siaran Media oleh: Ir. Jaseni Maidinsa
Pengurus Besar, Perbadanan
Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif, PBA Holdings Bhd.

KM: 35% REBAT TARIF AIR PERNIAGAAN UNTUK SEKTOR PEMBINAAN

PULAU PINANG: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang  (PBAPP) hanya akan menawarkan rebat 35% ke atas tarif baru yang dicadangkan ke atas sektor pembinaan/pengubahsuaian.

Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng, pada 10 September 2014 lalu, bahawa rebat khas ini adalah untuk menyokong persekitaran perniagaan kondusif bagi pelaburan, pembangunan hartanah dan perkembangan ekonomi di negeri Pulau Pinang.

YAB Tuan Lim berkata: “Pada 30 April tahun ini, PBAPP telah menghantar cadangan kajian semula tarif air kepada SPAN. Mengikut cadangan ini, kadar rata tarif bagi ‘Bekalan Air Sementara – Pembinaan/Pengubahsuaian’ akan dinaikkan daripada RM1.52 bagi setiap 1,000 liter kepada RM3.00 setiap 1,000 liter.

“Selepas menimbangkan rayuan daripada Persatuan Pembina dan Pembekal Bahan Binaan Pulau Pinang, kita bersetuju untuk mengkaji cadangan kadar rata itu kepada RM1.95 setiap 1,000 liter untuk kerja-kerja pembinaan sahaja, dan bukan untuk kategori pengguna perniagaan lain, yang akan dibilkan dengan purata tarif yang lebih rendah iaitu RM1.36 setiap 1,000 liter bagi 500,000 liter yang pertama sebulan. Kadar Rata RM1.95 setiap 1,000 liter untuk kawasan pembinaan adalah antara yang terendah di negara ini,” katanya.

YAB Tuan Lim memaklumkan bahawa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah meluluskan 160 projek di Pulau Pinang bagi separuh tahun pertama 2014.

Daripada jumlah itu, 25 adalah projek kerajaan dan 135 adalah projek swasta. Dari segi nilai ringgit, unjuran keseluruhan pelaburan berjumlah RM1.985 billion.

YAB Tuan Lim berkata pelaburan tempatan dan asing lain yang membabitkan projek pembangunan dan pembinaan yang diumumkan baru-baru ini termasuk:

  • Kilang pembuatan Seagate bernilai RM1.05 bilion di Batu Kawan;
  • Projek “Penang International Technology Park dan Business Process Outsourcing Prime” bernilai RM11.3 bilion – usaha sama di antara PDC dan Temasek; dan
  • Projek IKEA bernilai RM8.0 bilion.

“Kita perlu memastikan Pulau Pinang terus mampu menarik projek pembangunan yang menguntungkan dan berterusan untuk kemantapan ekonomi negeri. Kemantapan ekonomi sudah tentu akan menguntungkan rakyat di negeri Pulau Pinang.

“Oleh yang demikian, kita bersetuju untuk menawarkan rebat 35% untuk bekalan air di kawasan pembinaan, walaupun ia akan mengurangkan perolehan PBAPP,” tambah YAB Tuan Lim.

Pelaksanaan rebat 35% oleh PBAPP ini akan diberitahu kelak.