GEORGE TOWN – Kualiti udara di Pulau Pinang kekal terkawal pada tahap baik hingga sederhana, meskipun peningkatan titik panas (hotspot) dikesan di beberapa kawasan di rantau ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 2 petang hari ini, tiga stesen pengawasan kualiti udara automatik iaitu Seberang Jaya, Seberang Perai dan Minden merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 73 hingga 85, dalam kategori sederhana.
Sementara itu, Stesen Balik Pulau merekodkan bacaan 45, iaitu kategori baik.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan kualiti udara negeri ini susulan peningkatan titik panas di beberapa kawasan di rantau ini.

Menurut beliau, data awal ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bagi tempoh 4 hingga 6 September 2026 merekodkan sebanyak 737 titik panas di Sumatera dan 540 di Kalimantan, selain beberapa titik panas dikesan di Malaysia.
“Peningkatan titik panas di Sumatera dan Kalimantan menunjukkan terdapat aktiviti kebakaran yang lebih ketara di rantau berkenaan.
“Namun, jumlah titik panas bukanlah satu-satunya indikator untuk menentukan tahap kualiti udara di Pulau Pinang.
“Sebaliknya, keadaan udara turut dipengaruhi faktor meteorologi seperti arah dan kelajuan angin, keadaan atmosfera serta taburan hujan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sundarajoo berkata, keadaan cuaca yang dipengaruhi hujan berselang-seli ketika ini turut membantu mengekalkan kualiti udara negeri pada tahap baik hingga sederhana.
“Berdasarkan pemantauan JAS, PM₁₀ merupakan bahan pencemar dominan, namun kepekatannya masih berada pada paras sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak panik atau membuat kesimpulan awal hanya berdasarkan jumlah titik panas, sebaliknya mendapatkan maklumat berdasarkan bacaan IPU rasmi dan terkini di kawasan masing-masing.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan bacaan IPU melalui APIMS JAS, di samping mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka termasuk pembakaran sampah, daun kering dan sisa pertanian.
Sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau kebakaran juga hendaklah dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Golongan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan pula dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal berat di luar sekiranya bacaan IPU meningkat.
“Sekiranya keadaan udara bertambah buruk, orang awam disarankan mengurangkan tempoh berada di luar, menutup tingkap dan pintu serta menggunakan pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar,” katanya.
Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri melalui JAS dan agensi berkaitan akan terus memantau keadaan kualiti udara serta perkembangan titik panas secara berterusan.
“Sebarang perubahan ketara dalam bacaan IPU dan keadaan cuaca akan diberi perhatian bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Kerjasama dan kesedaran semua pihak amat penting dalam memastikan kualiti udara di Pulau Pinang terus terpelihara,” katanya.
Orang awam boleh mendapatkan bacaan dan perkembangan terkini kualiti udara melalui Environmental Quality Monitoring System – Air Pollutant Index Management System (APIMS), Jabatan Alam Sekitar.
Teks & gambar: SUNARTI YUSOFF