GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dalam menangani isu kesihatan mental golongan muda menerusi pelaksanaan Program Pertolongan Cemas Kesihatan Mental yang akan berlangsung di Stonyhurst International School, Tanjung Tokong pada 19 September ini.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, program berkenaan penting bagi membantu golongan muda menangani tekanan, buli serta pelbagai cabaran yang dihadapi mereka.
“Ibu bapa, guru, pendidik dan agensi berkaitan mempunyai peranan penting dalam mengenal pasti serta membantu golongan muda yang memerlukan sokongan.
“Kita melihat kebimbangan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengenai golongan muda yang berdepan tekanan dan pelbagai cabaran, termasuk isu buli yang sering dilaporkan.
“Kadangkala kita tidak memahami sejauh mana seriusnya keadaan yang mereka hadapi disebabkan pelbagai keadaan dan persekitaran di sekeliling mereka,” ujarnya dalam sidang media ketika mengumumkan program berkenaan di Komtar, pagi tadi.
Menurut Jagdeep, program berkenaan bukan sahaja memberi penekanan kepada usaha mendekati golongan muda, malah memperkukuh peranan komuniti dalam memastikan mereka yang memerlukan sokongan tidak terpinggir.

“Sebagai ibu bapa, itu adalah tanggungjawab kita, manakala kerajaan pula akan memudah cara dan memastikan program ini berjaya.
“Kita mahu mendekati generasi muda dan mereka yang memerlukan bantuan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Pada sidang media sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru, pendidik serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Pulau Pinang sentiasa menjadi peneraju dalam pelaksanaan inisiatif baharu dan saya berharap program ini dapat memberi manfaat kepada golongan muda,” ujarnya.
Difahamkan, Program Pertolongan Cemas Kesihatan Mental itu yang akan diadakan nanti terbuka kepada semua.