Isu Pulau Batu Puteh, P. Pinang berdiri bersama Pusat – Guan Eng

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri akan berdiri bersama Kerajaan Persekutuan berhubung permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak akan mempolitikkan hal ehwal luar negara.

“Sudah banyak kali saya nyatakan bahawa kami (pimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tidak akan sama sekali mempolitikkan hal ehwal luar negara.

“(Dan) dalam hal ini (tuntutan semula Pulau Batu Puteh), kami akan berdiri bersama-sama Kerajaan Pusat untuk mendapatkan semula pulau itu.

“Kami berdiri bersama-sama (Kerajaan Pusat) apabila ia berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat dekat Taman Free School di sini baru-baru ini.

Guan Eng dalam pada itu, berharap agar Kerajaan Persekutuan juga akan berbuat demikian terhadap Pulau Pinang dalam memastikan integriti dan entiti kenegerian negeri ini tetap terpelihara sebagai salah sebuah daripada 13 buah negeri di Malaysia.

“Kami tidak akan benarkan negeri Pulau Pinang dihapuskan,” tegasnya yang merujuk kepada hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, pada 3 Februari, sebagai dipetik melalui portal berita atas talian, Malaysiakini.com, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata, penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom mendorong Kerajaan Persekutuan mengemukakan permohonan semakan semula ke atas Pulau Batu Puteh.

Kini, Kerajaan Persekutuan masih menunggu tarikh pengurusan kes daripada ICJ.