Penuhi keperluan warga negeri, 65,000 RMM bakal dibina dalam tempoh 10 hingga 15 tahun – Exco

TELUK KUMBAR – Sejumlah 65,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) bakal dibina dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan dan keperluan warga negeri Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mengumumkan perkara tersebut pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina M Summit Group yang diadakan di tapak Projek Perumahan Mampu Milik Ramah Pavillion di sini 30 Januari lalu.

Jagdeep berkata, jumlah itu merangkumi keseluruhan unit-unit RMM yang telah dibina secara fizikal kini, akan dibina dan sedang dalam perancangan dibina untuk tempoh 15 tahun akan datang.

“Semenjak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negeri pada tahun 2008, sejumlah 20,000 RMM Jenis A yang dulu dikenali sebagai kos rendah dan Jenis B (kos sederhana rendah) telah dibina di sini.

“Malah sehingga kini, terdapat 14 projek RMM Jenis C (rumah mampu milik) di Pulau Pinang yang baru diperkenalkan, sedang dalam perancangan pembinaan iaitu kira-kira 26,000 unit pelbagai jenis mampu milik.

“Justeru, secara rasminya hari ini, saya umumkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, lebih 65,000 unit RMM akan siap di negeri ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan pemaju swasta,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru) dan Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP).

Projek RMM Ramah Pavillion terdiri daripada 759 unit RMM pelbagai saiz bermula dari 800 kaki persegi (kp) sehingga 1,350 kp yang dijual dari harga RM198,000 sehingga RM398,000 di Teluk Kumbar.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, Kerajaan Negeri akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dengan pihak pemaju swasta di Pulau Pinang untuk memastikan pembekalan RMM terus disalurkan kepada warga negeri.

“Ekoran kegagalan Kerajaan Pusat untuk membekalkan RMM di Pulau Pinang, maka Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang terpaksa bergerak secara sendiri untuk terus membekalkan perumahan mampu milik di sini.

“Kita semua maklum Kerajaan Persekutuan mempunyai program perumahan mampu milik seperti PRIMA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) yang telah diperkenalkan pada tahun 2012.

“Tapi, sehingga hari ini, walaupun ada unit-unit PRIMA dibina di negeri-negeri lain, tapi Kerajaan Persekutuan telah gagal membina walau satu unit pun PRIMA di Pulau Pinang.

“Sebab itulah, kita (Kerajaan Negeri) perlu memainkan peranan dan menjalin kerjasama bersama pihak pemaju swasta dalam memastikan RMM terus disalur dan dibina di Pulau Pinang,” ujarnya.

Guan Eng dan Pengerusi M Summit Group, Datuk Albert Moh turut berucap pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya turut memuji inisiatif pemaju projek Ramah Pavillion, Tetuan M Summit Group dalam membantu Kerajaan Negeri membekalkan RMM di Pulau Pinang.

“Mereka (M Summit) adalah pemaju perumahan pertama yang membina RMM di sini (Pulau Pinang) dengan GDV (Growth Development Value) berjumlah RM185 juta.

“Tentu sahaja mereka (M Summit) boleh menetapkan harga lebih tinggi, tapi mereka lebih memilih untuk menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membina rumah mampu milik,” jelas beliau.