Pentadbiran CAT & kepimpinan bersih membolehkan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang jimat RM55.19 juta

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sejumlah 200,000 pemilik unit hartanah lain termasuk hartanah komersial di bahagian pulau Pulau Pinang bakal menikmati rebat 6 peratus cukai pintu bagi tahun 2017.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu sidang media berkata, rebat pengurangan tersebut adalah respons kepada bantahan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan Kerajaan Pusat sejak April 2015.

“Pengurangan dan rebat (cukai pintu) ini adalah respons Kerajaan Negeri kepada GST.

“Kita menentang GST sama sekali.

“Oleh kerana mereka (Kerajaan Pusat) angkat (kenakan) GST enam peratus, maka kita (Kerajaan Negeri) berikan diskaun enam peratus semula kepada rakyat melalui rebat pengurangan cukai sebagai inisiatif untuk mengurangkan beban kewangan rakyat Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan Joseph Ng Soon Siang (Ahli Majlis MBPP).

Menurut Guan Eng, potongan 6 peratus tersebut akan memberikan penjimatan kepada pemilik unit hartanah termasuk hartanah komersial di bawah MBPP sebanyak RM11,829,732.70.

“Malah, bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), ia membabitkan jumlah RM9,907,892. Ini bermakna, beban kewangan yang terpaksa ditanggung kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah sebanyak RM21.74 juta,” jelasnya.

Tambah Guan Eng, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat, pengecualian 100 peratus cukai pintu 2017 turut diberikan kepada semua penghuni kos rendah (LC), kos sederhana rendah (LMC) dan rumah kampung/bertanah.

“Pengecualian cukai ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang dapat dimanfaatkan oleh pemilik LC, LMC dan rumah kampung adalah sebanyak RM14,093,705.78 bagi kedua-dua PBT,” jelasnya sambil menyatakan bahawa cukai pintu 2017 yang sepatutnya dikutip oleh MBPP ialah RM8,058,628.78 dan RM6,035,077 (MPSP).

“Difahamkan, sejumlah 47,500 unit LC dan 29,290 (LMC) menerima manfaat berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa, selain pengecualian cukai tersebut, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung bebanan GST yang dianggarkan kira-kira RM46.2 juta setahun.

“Kerajaan Negeri telah mengarahkan MBPP dan MPSP untuk menanggung beban GST bagi tahun 2016 sebanyak RM19.36 juta yang tidak akan dibayar oleh rakyat, sebaliknya ditanggung oleh mereka (PBT) sendiri.

“Ini juga kita teruskan untuk tahun ini. Ini bermakna 1.7 juta rakyat Pulau Pinang akan mendapat penjimatan sebanyak RM19.36 juta daripada pembayaran GST ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Sebelum itu, sidang media serupa turut diadakan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).