Sumbangan pukat diharap kurangkan beban nelayan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 SUNGAI DUA – Sumbangan pukat dua kali setahun kepada 3,121 nelayan persisiran pantai yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri diharap mampu mengurangkan kos mereka ketika (kos) sara hidup kian meningkat belakangan ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Program Penyerahan Pukat 2015 Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) yakin dengan pemberian bantuan pukat ini, kita membantu golongan nelayan khususnya nelayan persisiran pantai di negeri Pulau Pinang ini untuk meringankan beban dan kos operasi masing-masing,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak, Muhasdey Mohamad (PPK Pinang Tunggal) dan Norhayati Jaafar (PPK Teluk Air Tawar) serta Pegawai Daerah SPU, Saodah Nawawi.

Menurut Afif, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga minyak turut memberi impak
berantai pada belanjawan tahunan Kerajaan Negeri sendiri.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri akan tetap memberi sumbangan pukat dua kali tiap-tiap tahun kepada mereka (nelayan) yang berdaftar, sebagaimana dijanjikan oleh pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Mei 2013 lalu.

Pun begitu, Afif tidak boleh memberikan jawapan muktamad mengenai syor umum nelayan supaya memberi lebih banyak insentif kepada golongan berkaitan ketika ekonomi tanah air kian mencabar, ekoran kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM).

“Ada yang datang berjumpa saya minta ditambah pukat lagi, saya minta sabar.

“Kita akan pertimbang berdasarkan prestasi kewangan kita (Kerajaan Negeri), jika semakin bagus pada tahun depan, kalau kita diminta tambah, kita akan tambah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afif turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta persatuan-persatuan nelayan berwajib kerana banyak membantu Kerajaan Negeri menyediakan senarai mereka yang layak menerima pukat bagi tahun ini.