Jalur lebar pantas galak pelabur industri telekomunikasi ke PP

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini menandantangani Non Disclosure Agreement (NDA) dengan 11 syarikat telekomunikasi dalam usaha menyediakan perkhidmatan jalur lebar lebih besar dan kelajuan internet lebih pantas di negeri ini.

Selaras itu, turut diwujudkan sebuah platform khas dikenali, Majlis Telekomunikasi Negeri (PCC) bagi pemudahcara perhubungan dua hala Kerajaan Negeri dengan pihak penggiat industri telekomunikasi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perkhidmatan jalur lebar yang lebih pantas diperlukan kerana pasaran kini bergerak ke arah tiga bidang kritikal utama iaitu, pengkomputeran awan (cloud computing), analisis data besar (big data analysis) dan internet of things.

“Dengan adanya PCC, kerjasama antara semua syarikat telekomunikasi akan menjadi lebih kukuh dan secara tidak langsung bakal membantu menjayakan pelaksanaan pemasangan Fiber Forward Penang (FFP).

“Serentak itu, kita (Kerajaan Negeri) juga dapat melaksanakan kerja-kerja pemasangan fiber di seluruh negeri dengan lancar dan seterusnya membantu Pulau Pinang mencapai status sebagai sebuah negeri pintar yang lebih teratur dengan bekalan kelengkapan perkhidmatan internet lebih baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Non Disclosure Agreement (NDA) Antara Kerajaan Negeri Bersama-sama Syarikat Telekomunikasi dan Majlis Pelantikan Ahli-ahli PCC di sini barubaru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap Pengerusi PCC, Chow Kon Yeow, Exco Kerja Raya Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin. Keseluruhan, seramai 31 Ahli PCC dilantik terdiri daripada wakilwakil agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan dan syarikat- syarikat telekomunikasi.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyifatkan bahawa usahasama tersebut merupakan suatu pencapaian besar bagi negeri ini kerana ia mampu memberangsangkan keseluruhan sistem perkhidmatan di Pulau Pinang ke tahap antarabangsa.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap dapat mencapai kelajuan internet sama seperti (kelajuan) bandar antarabangsa pada masa akan datang yang secara tidak langsung bakal menggalakkan pelaburpelabur khususnya dari industri telekomunikasi ke negeri ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, dasar FFP dicetuskan dengan memberi penekanan kepada tiga perkara iaitu, tiada unsur monopoli, kesinambungan serta kebolehcapaian rekod jaringan telekomunikasi.

“Selepas penubuhan PCC, pembekal perkhidmatan telekomunikasi akan bekerja bersama-sama (Kerajaan Negeri) untuk mengenal pasti zon keperluan kabel gentian optik perlu diletakkan.

“Ini bermakna, hanya sebuah syarikat (telekomunikasi) sahaja akan dibenarkan memasang kabel di kawasan-kawasan tertentu. Pembekal perkhidmatan lain yang ingin menjalankan perniagaan di koridor yang sama perlu menyewa daripada pembekal tersebut.

“Umumnya, syarikat-syarikat telekomunikasi telah mengemukakan pemetaan gentian optik masing-masing kepada PCC dan ahli-ahli jawatankuasa akan mengkaji semula serta membuat pemeriksaan lanjut berhubung perkara tersebut,” jelas beliau.