Jambatan bertol dikecualikan GST disambut baik

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyambut baik pengumuman terbaru berhubung pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan ke atas Jambatan Pulau Pinang dan Johor, namun, dinafikan sendiri oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia kemudiannya.

Respons Guan Eng itu merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Datuk Khazali Ahmad pada 18 Disember tahun lepas di bawah Perintah GST (Pembekalan Dikecualikan) 2014, dilaporkan berkata, lebuh raya bertol di jalan awam adalah termasuk jambatan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada pelaksanaan cukai itu yang bermula 1 April 2015.

“Yang penting keputusan muktamad iaitu tidak akan kenakan GST ke atas jambatan.

Kerajaan Negeri terima perkara ini sebagai selesai,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pelaksanaan GST dijangka akan memberi kesan berantai yang buruk ke atas pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang dan jambatan baru, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Malah, Guan Eng  memberitahu, langkah Kerajaan Pusat tersebut turut akan memberi kesan berantai kepada pengguna lebuh raya bertol di Tambak Johor – Singapura yang menghubungkan Tanjung Kupang dekat Johor ke Tuas di Singapura, berusia 92 tahun.