Jambatan merentangi Outfall S22 bernilai RM183,000 beri kemudahan aktiviti riadah di Persiaran Karpal Singh

Admin
R.S.N Rayer (dua dari kiri sekali), Jagdeep Singh Deo (tengah sekali) dan Yew Tung Seang (tiga dari kanan) turut mengambil kesempatan berkayuh di jambatan baru merentasi outfall S22 sejurus majlis perasmian baru-baru ini.

SUNGAI PINANG – Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana berjaya menyempurnakan laluan basikal di seluruh pulau sepanjang kira-kira 180 kilometer (km) mendahului jadual.

 

Katanya, laluan basikal penuh mahupun secara berkongsi tersebut difahamkan sudah 90 peratus siap berbanding jadual pelan induk laluan basikal sejauh 200km yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.

 

Kerajaan Negeri melalui MBPP dan pihak swasta dalam pada itu juga menyediakan laluan khas untuk penunggang basikal dan pejalan kaki sejauh 40km dengan nilai RM34.8 juta.

 

JAMBATAN baharu merentasi outfall S22 di Persiaran Karpal Singh.

Baru-baru ini juga, kita turut merasmikan infrastruktur baharu iaitu spiral bridge dekat Queensbay Mall yang kita namakan sebagai Jambatan Harapan memandangkan kini kita semua memang ada harapan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Basikal merentangi Outfall S22 dekat Persiaran Karpal Singh baru-baru ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

 

Dalam pada itu, Jagdeep meminta pertimbangan Tung Seang untuk menamakan jambatan tersebut sebagai Jambatan Karpal Singh sempena nama mendiang ayahandanya (Karpal Singh) yang juga mantan Ahli Parlimen Jelutong.

 

Siew Khim ketika berucap menyatakan beliau amat berterima kasih kepada MBPP yang gigih membangunkan kemudahan rakyat di Sungai Pinang.

 

Hari ini sebuah jambatan sepanjang 22 meter dengan lebar tiga meter merentasi Outfall S22 siap dan sudah tentunya boleh menggalakkan lagi aktiviti berbasikal, jogging dan aktiviti berkasut roda,” katanya.

 

Difahamkan projek bernilai lebih RM183,000 tersebut mula dibina pada 19 Januari lalu dan siap pada 18 April 2018.

 

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI