Kes HFMD, Pulau Pinang catat penurunan

Admin

GEORGE TOWN – Jumlah kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini mencatatkan sedikit penurunan selama tiga hari berturut-turut sehingga 21 Julai (Sabtu) lalu, kata Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Pada Khamis (19 Julai) lalu Pulau Pinang mencatatkan 78 kes, Jumaat (52 kes) dan Sabtu (51 kes) yang mana berlaku sedikit penurunan walaupun jumlah kumulatifnya masih tinggi.

“Jumlah kumulitif adalah sebanyak 2,341 kes pada tahun 2018 berbanding 1,099 kes pada tahun 2017 mengikut jangka waktu yang sama,” katanya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.

Jelasnya lagi, sehingga hari ini terdapat 30 premis masih ditutup termasuk dua premis terakhir yang ditutup pada 20 Julai lalu.

“30 premis ini melibatkan enam buah sekolah rendah (SK) yang ditutup berdasarkan kelas-kelas tertentu, taska (7), tadika (10), pusat jagaan (1) dan prasekolah (6).

“Manakala dari segi bilangan pesakit yang masih menerima rawatan di wad hospital pula adalah sebanyak sembilan kes iaitu di Hospital Pulau Pinang (1), Hospital Seberang Jaya (1) dan 7 kes (hospital swasta).

“(Dan) kesemua pesakit yang dirawat berada dalam keadaan stabil,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Afif turut mengingatkan pengamal media untuk tidak melaporkan sebarang maklumat yang tidak sahih seperti yang ditularkan di aplikasi Whatsapp dan laman sosial sebaliknya perlu mendapatkan maklumat rasmi daripada pihak berwajib.

“Pendekatan saya dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) adalah jika sesuatu kes itu melibatkan kepentingan awam, tidak ada sebab untuk kita (pihak berwajib) tidak beritahu kepada masyarakat.

“Selagi saya atau JKNPP tidak keluarkan kenyataan rasmi, maka media tidak harus fokus kepada laporan itu sebaliknya beri perhatian terhadap jumlah kes dan langkah-langkah yang harus diambil oleh masyarakat untuk mengelakkan mereka dijangkiti penyakit ini,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sehingga hari ini Kerajaan Negeri masih tidak mempunyai apa-apa polisi untuk menutup tempat-tempat permainan di dalam kawasan pusat membeli-belah di negeri ini.

“Tetapi kita akan melakukan pemeriksaan berturutan yang akan dibuat oleh JKNPP ke tempat-tempat ini dan kita galakkan operator-operator pusat seperti ini supaya memastikan peralatan mereka dibersihkan daripada sebarang bentuk yang membolehkan jangkitan merebak.

“(Dan) ibu bapa pula, sekiranya anak-anak mendapat jangkitan atau disyaki dijangkiti HFMD terus dapatkan rawatan doktor untuk sahkan penyakit berkenaan, kemudian segera lakukan seperti yang diarahkan oleh doktor.

“Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD perlu dikuarantin dan tidak harus berada di tempat awam untuk mengelakkan penyakit ini menjangkiti orang lain,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS