“Jangan libatkan anak-anak saya,” Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta keluarganya berasa kecewa dan kesal dengan kenyataan dikeluarkan Menteri Pertahanan yang secara langsung telah mengheret anak perempuan beliau ke dalam putaran politik menteri berkenaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan Guan Eng, beliau berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sibu baru-baru ini, telah mengheret anak perempuannya ke dalam putaran terbarunya apabila beliau (Ahmad Zahid) menyatakan bahawa program Khidmat Latihan Negara (PLKN) kini diterima secara meluas dan dipercayai ibu bapa yang ia memberi kesan positif terhadap anak-anak mereka.

Tambahnya, Ahmad Zahid mendakwa bahawa Guan Eng dan ayahnya, Lim Kit Siang telah melihat bagaimana anak perempuannya telah berubah menjadi lebih baik selepas menghadiri program di kem PLKN Balik Pulau di sini.

“Ini tidak benar. Anak perempuan saya adalah seorang anak yang baik dan peribadi beliau adalah sama sebelum dan selepas menyertai kem PLKN. Saya dan bapa saya tidak pernah memberitahu Zahid (Ahmad Zahid) seperti yang didakwa oleh beliau dan kami tidak pernah mengucapkan terima kasih kepadanya (Ahmad Zahid),” ujar.

Menurut Guan Eng, anak perempuannya telah terpilih untuk menyertai kem PLKN bagi sesi 2008-09 yang mana telah dipatuhi oleh anaknya.

Keluarganya tidak pernah berbincang mengenai pengalaman anaknya itu, lebih-lebih lagi baik atau buruk di kem, kerana anaknya masih di bawah 21 tahun dan seorang pelajar tidak seharusnya terlibat dengan politik.

“Saya dan keluarga sangat sayangkan anak saya dan mahu melindungi privasi beliau. Kami telah melindungi beliau dari silau publisiti supaya dia boleh membesar dan menikmati kehidupan dengan rakanrakannya sebagai seorang kanak-kanak normal. Kami berharap bahawa Zahid boleh menghormati privasi anak perempuan saya dan tidak mengheret beliau ke dalam permainan politik beliau untuk menjustifikasikan program PLKN,” tambah Guan Eng dengan nada kecewa.

Dalam pada itu, Guan Eng juga kesal kerana kejadian yang juga merupakan kejadian kedua menimpa keluarganya selepas isu anak lelaki beliau yang berumur 15 tahun disabitkan dengan skandal seksual mencabul rakan sekelas pada tahun lepas. Pelbagai tohmahan telah dilalui oleh anak serta keluarganya dek fitnah yang telah dilemparkan oleh individu tidak bertanggungjawab parti pembangkang demi kepentingan peribadi.

“Saya menyeru kepada para pemimpin parti pembangkang supaya melontarkan pembohongan anda kepada saya jika perlu, tetapi tolong jangan libatkan anak-anak saya.

“Mereka masih bersekolah dan tidak sepatutnya terlibat dengan politik. Dengan terus mengheret anak-anak saya dengan pembohongan atau kenyataan yang tidak benar merupakan satu tindakan terdesak yang menunjukkan kurangnya nilai-nilai moral dan ketiadaan pertimbangan etika pihak terlibat,” tegas Guan Eng.