JAS dan JMG di bawah kementerian sama, tapi ulasan berbeza diambil kira MBPP – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang memberi ulasan ‘tiada bantahan’ pada projek perumahan swasta
Tetuan Taman Sri Bunga dekat Lembah Permai adalah jabatan teknikal di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sungguhpun Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah kementerian sama memberi ulasan tidak menyokong projek tersebut.

Justeru, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan permohonan projek perumahan swasta Tetuan Taman Sri Bunga dekat Lembah Permai selepas mengambil kira semua ulasan jabatan teknikal secara menyeluruh, termasuk ulasan berbeza daripada kedua-dua jabatan luaran terbabit.

“(Jabatan Alam Sekitar) JAS cuma bimbang mengenai jarak tidak cukup, mungkin ganggu bunyi kerana terlalu dekat dekat
kawasan perumahan, debu-debu dan sebagainya.

“JAS adalah salah satu daripada jabatan luaran yang telah memberi ulasan yang tidak menyokong kerana tidak memenuhi keperluan
zon penampan yang ditetapkan di bawah ‘Guidelines Form Siting and Zoning of Industry and Residential Areas’.

“(Namun), JAS bukanlah pihak wajib yang diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai permohonan kebenaran merancang,
kuasa ini diberikan kepada MBPP.

“JMG adalah jabatan yang mempunyai bidang kuasa dalam hal-hal geologi, pendasaran tapak, pemadatan tanah dan kerja-kerja
peletupan.

“Kepakaran ini bukan di bawah JAS, tetapi di bawah JMG dan dalam kes ini JMG (pada 30 Disember 2014) memberi ulasan
tiada halangan kerana dia (JMG) ada kepakaran dalam isu-isu ini,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri,
Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini 24 Oktober lalu.

Turut hadir, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah
Mohd. Sharif.

Penjelasan Kon Yeow itu sekaligus menjawab sangkaan tidak berasas seorang Menteri, kononnya pembangunan di Pulau Pinang
dilaksanakan secara tidak terkawal serta mematuhi garis panduan berwajib sedia ada.

Menurut Kon Yeow, kuasa yang diberikan kepada MBPP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal pembangunan serta memberi kebenaran pembangunan berwajib adalah berdasarkan Seksyen 19 Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Sebelum ini, beberapa media arus perdana menggambarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan projek perumahan tersebut
walaupun tidak disokong oleh JAS sendiri, hatta mengakibatkan kemalangan di tapak pembinaan yang mengorbankan seorang
warganegara dan 10 buruh asing dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Menjawab soalan pemberita pada hari berkaitan, Kon Yeow memberitahu, JAS pada 22 Mei 2008 pernah memberi ulasan bahawa tiada halangan kepada rayuan satu projek yang lebih dekat, berada dalam lingkaran 500 meter (m) dari tapak kuari.

Difahamkan, projek Tetuan Taman Sri Bunga berada pada jarak 714.53m dari pusat letupan kuari, berbanding dua projek lain yang menurut ulasan JAS terdahulu adalah tiada halangan.

Dua projek pembangunan itu adalah projek perumahan Tetuan Prestasi Raya pada jarak 421.57m dari pusat letupan kuari, dan Kolej
Tungku Abdul Rahman sejarak 589.44 m.

Dari ‘crushing point’, jarak tapak projek Taman Sri Bunga adalah 181.95m, berbanding tapak projek Prestasi Raya (194.37m) dan
tapak Kolej Tunku Abdul Rahman (258.45m). (Rujuk Lampiran A).

Kon Yeow menjelaskan bahawa projek tersebut berada di tanah landai, ketinggian di bawah 250 kaki atau 76m dari paras laut, mengikut Garis Panduan Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi.