Sebarang pemajuan bertingkat tinggi baru di tapak melebihi 76 meter (250 kaki) dari aras laut akan terus dilarang – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sejak tahun 2008, sejumlah 11 permohonan pemajuan bertingkat tinggi di kawasan melebihi 76 meter (m) dari aras laut telahpun ditolak.

Jumlah tersebut tidak termasuk dua projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dimohon oleh Kerajaan Persekutuan sendiri yang turut ditolak ekoran salah satu projek berkaitan membabitkan jumlah jaraknya adalah melebihi dua kali
ganda berbanding garis panduan ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan pihak tertentu berhubung pelaksanaan moratorium atau larangan terhadap pemajuan bangunan bertingkat tinggi (high rise) di kawasan lereng bukit.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudahpun melaksanakan dasar melarang pemajuan bangunan bertingkat tinggi (high rise) di tapak melebihi 76m atau 250 kaki dari aras laut.

“Dasar ini telahpun diperkenalkan mengikut Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2020 melalui Dasar Khusus 3 Langkah 1 (DK3L1) yang berbunyi:

“Mengekalkan kawasan yang berada di aras 76m (250 kaki) dan ke atas sebagai kawasan berbukit/ kawasan semula jadi.”

“Yang telahpun berkuatkuasa sejak pewartaannya melalui Warta Kerajaan Jilid 51, No. 13, Tambahan No. 1 yang bertarikh 28 Jun 2007,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini 25 Oktober lalu.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyertai sidang media tersebut.

Difahamkan, syor moratorium dibangkitkan ekoran kes kemalangan di tapak pembinaan perumahan swasta Tetuan Sri Bunga dekat Lengkok Lembah Permai pada 21 Oktober lalu yang mengorbankan seorang warganegara dan 10 buruh asing lain.

Tegas Jagdeep, dasar yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri hari ini sebenarnya adalah lebih rendah berbanding had ketinggian 300m dari aras laut yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pelaksanaan dasar ini oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah berbeza dengan keadaan sebelum pentadbiran baru di Negeri Pulau
Pinang sejak 2008, yang mana menurut rekod kami, tidak kurang daripada 28 skim perumahan bertingkat tinggi bukan sahaja telah diluluskan untuk dibina di tapak yang melebihi 76m (250 kaki) dari aras laut, tetapi yang telahpun selesai dibina di Pulau Pinang dari tempoh 1985 hingga 2008.

“Malahan, ia perlu diambil maklum bahawa larangan pemajuan di tapak yang melebihi 76m (250 kaki) dari aras laut ini di Negeri Pulau Pinang adalah jauh lebih rendah berbanding dengan had ketinggian 300m dari aras laut yang ditetapkan oleh Kerajaan
Pusat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit Dan Tanah Tinggi 2009 yang membenarkan semua jenis pembangunan di tapak yang
tingginya adalah sehingga 300 meter dari aras laut,” ujarnya.

Justeru, Jagdeep memohon Kerajaan Pusat sendiri menunjukkan tindakan ikhlas dengan menyemak semula dasar persekutuan tersebut, sekurang-kurangnya sebagaimana amalan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang mengehadkan projek pembangunan di bawah ketinggian 76 m dari aras laut.