Jejantas simpang empat Tanjung Tokong selesaikan isu keselamatan pejalan kaki

Admin
8e9b83e0 9132 4478 86d7 32e32dc7bcad

TANJUNG BUNGA – Jejantas pejalan kaki di simpang empat Tanjung Tokong yang dibina dengan kos RM2,088,158 sudah boleh digunakan bermula 2 Disember lalu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata pembinaan jejantas tersebut dilihat telah menyelesaikan isu keselamatan jalan raya membabitkan pejalan kaki di kawasan terbabit.

 

“Seperti yang kita tahu, aliran trafik di kawasan ini begitu tinggi walaupun pada hujung minggu memandangkan jalan ini adalah laluan utama untuk ke Batu Ferringhi dan ke pusat bandar.

 

“Selain menjaga keselamatan pejalan kaki, jejantas ini juga dapat membantu mempercepatkan kitaran lampu isyarat bagi kenderaan dan secara tidak langsung akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sini.

 

“Tidak perlu bimbang kerana jejantas ini mesra dan inklusif kepada semua dengan kemudahan, lif, ramp dan mesra warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU),” ujar Zairil ketika merasmikan jejantas pejalan kaki simpang empat Tanjung Tokong berhampiran Island Plaza di sini baru-baru ini.

 

bb809e99 9966 49df 8e2a 7121ac1f3153

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Difahamkan, projek tersebut adalah milik Uda Holdings Sdn. Bhd. dan I- Platinum Sdn. Bhd. yang telah dimulakan sejak 3 Disember 2021.

 

Namun, projek tersebut mengalami sedikit kelewatan ekoran kerja-kerja pengalihan kabel utiliti perlu dijalankan terlebih dahulu di kawasan berhampiran.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO