MBSP terima hadiah empat batang pokok Melaka, bina hubungan erat antara PBT

whatsapp image 2023 12 05 at 13.45.44

TELUK AIR TAWAR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima hadiah empat batang pokok Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 yang akan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember 2024.

Hadiah tersebut disampaikan kepada Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad pada Majlis Menanam Pokok Sempena Konvoi Jemputan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dekat Robina Eco Park pada 5 Disember lalu.

Ketika berucap, Azhar berkata matlamat penganjuran program tersebut adalah untuk menjalinkan hubungan erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di samping mempromosikan Malaysian Association of Local Authorities (MALA).

whatsapp image 2023 12 05 at 13.45.44

whatsapp image 2023 12 05 at 13.45.43

whatsapp image 2023 12 05 at 13.45.48

“MBSP dilantik sebagai PBT Angkat Negeri Melaka bagi majlis menanam Pokok Melaka sempena usaha memperkasakan industri pelancongan Melaka ke tahap yang lebih cemerlang.

“Oleh itu, konvoi dari Melaka telah memberikan empat batang anak Pokok Melaka (Phyllanthus emblica) kepada MBSP yang mana tiga daripadanya akan ditanam di Pantai Robina Eco Park Fasa 1.

“Selain MBSP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga akan menerima sebatang anak pokok,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merangkap Presiden MALA, Datuk Shadan Othman, Setiausaha Bandaraya MBMB, Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Pengarah Muzium Penjara Malaysia Melaka Aswari Che Ibrahim.

Difahamkan, seramai 52 pegawai-pegawai daripada Kerajaan Negeri Melaka, MBMB dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyertai acara konvoi jemputan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhar memberitahu bahawa sejak tahun 2008 sehingga November 2023, MBSP telah menanam sebanyak 113,593 pokok di seluruh Seberang Perai.

“Bagi menjayakan program penanaman pokok di Seberang Perai, MBSP telah melaksanakan banyak program penanaman pokok secara besar-besaran.

“Malah, MBSP memberi penekanan terhadap peranannya sebagai PBT dalam menyediakan ruang hijau dan selamat kepada penduduk dan masyarakat setempat dan mengekalkan udara yang bersih dan persekitaran yang sihat,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP