‘Jejantas sotong’ dijangka siap sepenuhnya Ogos

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Jejantas berbumbung pejalan kaki di persimpangan Jalan Penang, Jalan Dr. Lim Chwee Leong dan Jalan Burma atau lebih dikenali sebagai ‘jejantas sotong’, dijangka siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai Ogos ini.

Perkara tersebut diumumkan Pengarah Eksekutif Ensignia Construction Sdn. Bhd. (Ensignia), Lim Gik Chay ketika menemani Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri mengadakan lawatan ke tapak projek naik taraf tersebut di sini 26 Mei lalu.

Bercakap kepada wakil media, Gik Chay menyatakan, pihaknya mengalami beberapa masalah hingga menyebabkan kelewatan projek berkaitan selama hampir setahun.

Menurut beliau, kelewatan projek tersebut adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya kegiatan vandalism yang mana telah berlaku kecurian ke atas kabel pendawaian, peralatan lif serta tangga bergerak.

“Oleh kerana sebahagian besar peralatan-peralatan pendawaian dan kabel ini perlu diimport dari luar negara, maka kes kecurian ini telah menjejaskan kemajuan kerjakerja menaik taraf di tapak dan kita memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk proses tuntutan insurans , penyiasatan dan mendapatkan bekalan gantian peralatan-peralatan tersebut.

“Selain itu, aktiviti pembinaan tidak boleh dijalankan secara serentak ekoran jejantas ini masih digunakan oleh orang awam,
justeru, ia perlu dinaik taraf satu demi satu dan hanya boleh dilakukan (dinaik taraf) pada waktu malam sahaja di atas faktor keselamatan (orang awam).

“Malah, semasa kerja-kerja awalan dimulakan pada Ogos 2015, kontraktor terbabit perlu memastikan bahawa kabel, saluran, paip utiliti ditempatkan semula seupaya bekalan air, elektrik dan talian telekomunikasi kepada orang awam tidak terjejas.

“ Faktor- faktor ini telah melewatkan kerja-kerja pembinaan di tapak,” jelasnya pada sesi lawatan berkaitan.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Teh Lai Heng (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung ) , Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan John Slater Bailey (Pengarah Reka Bentuk IGB Corporation Berhad).

‘Jejantas sotong’ berkenaan dibina pada 1993 dengan kos pembinaan sejumlah RM1.25 juta.

Kini, projek naik taraf tersebut mendapat tajaan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ensignia iaitu anak syarikat IGB Corparation Berhad dengan kos berjumlah RM6 juta.

Apabila siap kelak, jejantas berkenaan bakal dilengkapi dengan kemudahan lif, tangga bergerak ( escalator) serta kemudahan-kemudahan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan penghargaannya kepada pihak Ensignia dan IGB kerana menaja keseluruhan projek
menaik taraf jejantas pejalan kaki ikonik tersebut.

“Walaupun ia bukanlah khabar gembira apabila projek ini mengalami kelewatan hampir setahun, namun kita (Kerajaan Negeri) mengambil maklum akan masalah-masalah yang dihadapi.

“Kerajaan Negeri faham akan jadual mereka (kontraktor), tetapi kita (Kerajaan Neger) juga perlu fahami masalah dan kesukaran yang dihadapi pengguna. Diharap projek ini akan siap seperti mana yang dijadualkan,” ujarnya.