Jelajah Penang Sihat demi kebajikan & kesihatan rakyat

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD 

SUNGAI BAKAP – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap rakyat dapat mengambil peluang menjalankan pemeriksaan kesihatan dan dapatkan khidmat nasihat secara percuma menerusi program Jelajah Penang Sihat anjuran bawah portfolio beliau di sini baru-baru ini.

Katanya, program berkenaan adalah mensasarkan pendekatan  kepada rakyat negeri ini yang berpendapatan rendah.

“Ini merupakan satu platform yang membuktikan bahawa Kerajaan Negeri  sentiasa mengambil berat kebajikan  dan kesihatan rakyat kerana menyedari masih ramai lagi yang tidak mengendahkan tahap  kesihatan diri sendiri.

“Justeru, diharap dengan adanya program jelajah ini, penduduk dapat amalkan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit sekaligus menjadikan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat satu realiti,’’ katanya pada program Jelajah Penang Sihat Siri-2 di sini baru-baru ini.

Penganjuran program Jelajah Penang Sihat yang menumpukan kepada golongan kurang mampu adalah hasil kerjasama Kerajaan Negeri bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Medical Association of Malayisa (IMAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Hearing Partners.

Turut hadir, ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Maktar Shapee dan Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Tasek, Mohd. Said Mohd. Zain.

Dalam pada itu, Afif turut berharap supaya program berkenaan dapat melahirkan pasukan bertindaknya sendiri di negeri ini.