Rumah Terbuka Tahun Baru Cina serlah rakyat negeri harmoni

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & AHMAD ADIL MUHAMAD

BAYAN LEPAS – Lebih 3,000 hadirin pelbagai bangsa tidak putus-putus mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng yang diadakan di Subterranean Penang International Conference & Excibition (sPICE) di sini baru-baru ini.

Yang Di- Pertua Negeri Pulau Pinang,  Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor hariff turut hadir pada keraian selama hampir empat jam itu, bermula seawal 9.30 pagi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dan isteri, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta kepimpinan negeri dari pelbagai peringkat.

Rakyat berbilang kaum berpusu-pusu saling bersalaman dan bergambar kenang-kenangan dengan pemimpin-pemimpin utama negeri.

Pelbagai juadah enak disediakan untuk hadirin, termasuk komuniti Islam.

Tarian naga, persembahan muzik tradisi Cina, nyanyian lagu tradisi oleh komuniti warga emas serta persembahan tarian daripada Persatuan Kebudayaan Pulau Pinang antara yang menarik di pentas utama keraian itu.

Seperti tahun-tahun lepas, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah tidak melepaskan peluang mendapatkan angpau daripada Gek Cheng.

Setiasuaha Politik bagi Ketua Menteri, Ng Wei Aik dalam satu reaksi spontan berkata, rumah terbuka itu mencerminkan kesederhanaan tulen rakyat dalam menyuburkan keharmonian kaum di negeri berkenaan.

“Pengunjung yang berbilang kaum dan agama di rumah terbuka ini bukti rakyat Pulau Pinang mementingkan keharmonian kaum, bukan politik perkauman,” ujarnya pada majlis keraian berkenaan.

Sementara itu, Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Pulau Pinang turut diadakan di Dewan Ng Yam Huat, Bukit Mertajam di sini.

Abdul Rahman serta isteri turut hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.