Jenamakan KR, KSR elak stigma rakyat – Exco

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Panggilan rumah kos rendah (KR) dan rumah kos sederhana rendah (KSR) perlu dijenamakan semula supaya lebih menghargai sensitiviti penerima terpilih berwajib di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian semasa merasmikan Upacara Pengundian Rumah Pangsa Kos Rendah HillPark Residensi di sini baru-baru ini.

“Secara peribadi, (panggilan) rumah kos sederhana rendah (KSR) dan rumah kos rendah (KR) perlu dijenamakan semula kerana panggilan ‘rendah’ itu tidak sesuai dan dilihat menjadi stigma kepada penerima.

“Bagaimanapun, saya sangat menghargai komitmen pemaju Eupe Corporation Berhad, yang menyediakan 96 unit rumah kos rendah untuk mereka cabut undi pada hari ini,” ujarnya di sini baru-baru ini sambil memberitahu bahawa penjenamaan kedua-dua kategori rumah mampu milik tersebut adalah di bawah bidang kuasa Putrajaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng dan Teo Chew Kow (Sunrise Manner Sdn Bhd., iaitu anak syarikat kepada Kumpulan Eupe) turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Pengarah Urusan Kumpulan Eupe Corporation Berhad, Datuk Beh Huck Lee dalam ucapannya memberitahu, pihaknya sejak tahun 1986 telahpun berjaya membina lebih 20,000 unit rumah mampu milik di negara ini, termasuk lebih 9,000 KR.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat turut menolak kenyataan berunsur politik bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang dilaporkan mendakwa bahawa pembangunan mega Kerajaan Negeri di Balik Pulau dilihat mengusir keluar penduduk asal hatta memangsakan warga miskin setempat.

Memetik laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Star pada 4 Mei lepas, Yusmadi turut menyebut, “terdapat banyak pembangunan kediaman yang menceroboh penempatan kampung.”

Justeru, tegas Yusmadi, pihaknya telahpun menubuhkan Koperasi Pembangunan Balik Pulau demi memelihara kepentingan penduduk asal tanpa mengira kaum.

Mengulas mengenai kenyataan Yusmadi, Jagdeep menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah melaksanakan pembangunan yang menindas mana-mana kaum.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak pernah ada polisi mengusir mana-mana penduduk asal atas nama pembangunan.

“Apa yang disebut Yusmadi ini sama sekali tidak benar kerana dalam setiap projek perumahan mesti menyediakan 30 peratus rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk golongan yang berkelayakan,” tegas beliau.

Tuntas itu, Jagdeep berharap dapat bertemu dan berbincang Yusmadi mengenai idea perancangan idea bekas Ahli Parlimen tersebut yang baginya nyata menguntungkan rakyat, serta selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri kini.