JHEAIPP lipat ganda operasi salah laku Ramadan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui Bahagian Penguatkuasa dan Bahagian Pengurusan Halal akan melipat gandakan operasi penguatkuasaan bagi membendung salah laku dan perakuan penandaan halal di seluruh Pulau Pinang sempena bulan Ramadan ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, operasi penguatkuasaan tersebut menekankan kepada Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 (EKJSNPP) iaitu kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman atau seumpamanya jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

“Manakala, bagi mereka yang secara terang-terangan atau di tempat awam didapati minum atau menghisap rokok atau seumpamanya bakal dikenakan tindakan sekali ganda daripada kesalahan yang pertama,” ujarnya pada sidang media di Komtar baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim dan Ketua Bahagian Penguatkuasa JHEAIPP, Yusuff Ahmad.

Sebanyak 212 banting amaran penguatkuasaan Ramadhan akan digantung di semua masjid-masjid seluruh Pulau Pinang berhubung pengoperasian berkenaan.

Abdul Malik memberitahu, bagi tahun lalu (2013), sebanyak 103 kes tidak menghormati bulan Ramadan dicatatkan berbanding tahun sebelumnya (2012), hanya 81.

“Bagi membendung angka tersebut daripada terus melonjak, pihak JHEAIPP akan mengadakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain membabitkan secara serentak,’’ tegas beliau.

Dalam pada itu, jelas Abdul Malik, bagi operasi perakuan halal, Bahagian Halal JHEAIPP akan terus melakukan pemantauan bersepadu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sepanjang Ramadan tahun ini.

Serentak itu, beliau memberitahu, hotel dan restoran yang tidak mempunyai sijil halal tidak akan dibenarkan mengadakan promosi berbuka puasa pada tahun ini.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 25 hotel telah mempunyai sijil halal, selebihnya, sebanyak 14 hotel masih dalam proses pembaharuan lesen dan dijangka dapat diselesaikan sebelum bermulanya Ramadan.

“Bagi kategori premis makanan, sebanyak 68 sijil halal dikeluarkan kepada pihak berkaitan iaitu restoran (18), kafeteria/kantin (37), katering (9) dan kiosk (4),” ujar Abdul Malik.