Sumbangan Ihya’ Ramadhan inisiatif berterusan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGA – Sejumlah 212 masjid di seluruh Pulau Pinang menerima sumbangan sempena bulan Ramadhan dalam satu Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadhan kepada Kariah Masjid Peringkat Negeri Pulau Pinang 1435H di Masjid Terapung Tanjung Bunga dekat sini baru-baru ini.

Sumbangan berjumlah RM221,000 itu, diagih-agihkan untuk Masjid Negeri sebanyak RM5,000, lima buah Masjid Daerah dengan peruntukan berjumlah RM2,000 setiap daerah dan RM1,000 untuk setiap kariah bagi 206 buah Masjid Kariah di Pulau Pinang.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd, Noor dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut hadir menyaksikan majlis penuh bermakna berkenaan.

Dalam ucapannya, Guan Eng berkata, sumbangan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat termasuk institusi masjid di negeri ini terbela.

Malah, jelasnya, Kerajaan Negeri akan meneruskan agenda memajukan pembangunan ummah dan penghayatan Islam melalui usahasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.

“Hal ini dapat diperlihatkan melalui pemberian peruntukan pengurusan Hal Ehwal Agama Islam berjumlah RM25.15 juta dan peruntukan pembangunan berjumlah RM17.88 juta tahun ini.

“Itu tidak termasuk peruntukan sebanyak RM1.35 juta bagi program-program anjuran Kerajaan Negeri dan sambutan Bulan-bulan Al-Quran,” katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan ialah penyampaian sumbangan al-Quran Mushaf Qiyam kepada semua Pengerusi masjid di Pulau Pinang dan sumbangan buah kurma oleh Pengarah Urusan Yusof Taiyoob Sdn. Bhd., Datuk Yusof Taiyoob kepada Kerajaan Negeri.

Bersempena itu, Guan Eng turut berharap kemeriahan sambutan Ramadhan kali ini tidak hanya disambut oleh umat Islam tetapi juga semua kaum tanpa mengira latar belakang agama.

Dalam pada itu, Abdul Malik semasa berucap memberitahu, sumbangan tersebut merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran program-program ilmiah sepanjang Ramadhan di masjid-masjid di Pulau Pinang.

Menurutnya, sumbangan kecil itu diharap dapat dimanfaatkan bagi menjalankan agenda pembangunan masyarakat melalui aktiviti pengimarahan masjid sepanjang bulan Ramadhan ini.

“InshaAllah, sekiranya dimurahkan rezeki, tahun-tahun mendatang, kita (Kerajaan Negeri) akan mengadakan lagi penyerahan sumbangan sebegini dan bukan sahaja di bulan Ramadhan, tetapi juga bulan-bulan yang lain dalam usaha menghidupkan semula masjid-masjid di Pulau Pinang,” ujar beliau.