JKKK Jelutong juara bola sepak persahabatan

Admin

O l e h : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Dalam kehangatan kempen Piala Dunia 2014 Brazil yang bakal berlangsung pada 12 Jun hingga 13 Julai ini, Pulau Pinang tidak ketinggalan memeriahkannya dengan penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan di sini.

Baru -baru ini,Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon bersama Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri menentang pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jelutong di Stadium Bandaraya di sini.

“Perlawanan ini merupakan perlawanan persahabatan pertama dianjurkan secara bersama dalam usaha menyemarakkan lagi suasana Piala Dunia 2014.

“Antara objektif utama penganjuran adalah untuk membudayakan gaya hidup sihat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat, tetapi juga para pimpinan negeri,” ujarnya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan tersebut.

Perlawanan berkenaan menyaksikan pasukan JKKK  Jelutong menewaskan pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan jaringan 4 – 2.

Pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri disertai Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perlawanan berlangsung agak seimbang dengan para penyokong kedua-dua pasukan memberi sokongan dan sorakan yang berterusan bagi menggamatkan sepanjang perlawanan tersebut.