Penduduk Kampung Kovil terima baucar tunai

Admin

BERTAM – Seramai 30 individu kurang mampu di Kampung Kovil di sini menerima bantuan baucar barangan dapur dan makanan bernilai RM1,500 baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak ketika ditemui berkata, program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Datuk itu memperuntukkan baucar tunai bernilai RM50 setiap seorang penerima.

Menurutnya, Program Bersama Masyarakat India Kampung Kovil itu merupakan salah satu program kebajikan masyarakat di sini.

“Sebelum ini, bantuan hanya tertumpu kepada pemberian wang tunai, namun hari ini, saya mengambil inisiatif memilih mereka yang layak untuk menerima baucar tunai barangan dan makanan.

“Mereka boleh membelanjakan baucar tersebut untuk membeli apa jua keperluan barangan dan makanan dengan potongan harga RM50 di pusat membeli-belah berkaitan,” katanya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy. Tambah Asrol Sani, selain penyampaian sumbangan baucar, turut diadakan adalah dialog bersama masyarakat berketurunan India yang disertai kira-kira 60 penduduk setempat.