JKKK, JPS DBD diseru kerjasama teliti dan kemuka permohonan laksana projek kecil tangani risiko banjir – Exco

Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD

PULAU BETONG – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Barat Daya (DBD) diseru meneliti dan mengemukakan permohonan berhubung pelaksanaan projek-projek kecil menangani risiko banjir membabitkan kawasan seliaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kuala Jalan Bharu di sini kepada Jawatankuasa Tebatan Banjir untuk kelulusan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, JKKK Kuala Jalan Bharu memainkan peranan penting untuk mengemukakan masalah banjir bagi penelitian JPS (DBD) supaya kawasan berisiko banjir dapat diambil tindakan.

“Jawatankuasa Tebatan Banjir merupakan tambahan kepada caruman perparitan yang terbuka untuk permohonan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), JPS dan pejabat-pejabat daerah. Selepas menerima permohonan permohonan berkaitan, jawatankuasa akan menilai mengikut keperluan serta keutamaan.

“Setakat ini, kelulusan projek adalah tinggi, adalah amat jarang ia tidak diluluskan melainkan ia melibatkan kos terlalu besar.

“Justeru, adalah diharapkan JKKK dapat memaklumkan kepada JPSDBD dan pihak berkaitan untuk membuat permohonan lanjut sebagaimana cadangan kerja-kerja penambahan 100 meter tembok batu corak rambang (rubble walling) sehingga titi di bahagian belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok,” katanya.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata demikian ketika mengadakan lawatan meninjau kerja-kerja membina tembok batu corak rambang sepanjang 43 meter dan setinggi 2 meter di Sungai Korok di sini 25 November lalu.

Projek membabitkan kos RM19,320 berkaitan adalah melibatkan skop kerja mengorek tapak dan tembok, membekal serta memasang tembok batu corak rambang sepanjang 43 meter dan setinggi 2 meter dan membekal serta meratakan tanah di belakang tembok. Tempoh kerja adalah selama empat minggu dengan tarikh penyempurnaan projek pada 30 November 2017.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali; barisan Ahli-ahli Majlis MBPP; Jurutera JPS DBD, Hashim Abdullah dan wakilwakil JKKK Kuala Jalan Bharu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap inisiatif pembinaan tembok batu corak rambang juga dapat dilaksanakan di kedua-dua
belah sungai sepanjang Sungai Korok termasuk lokasi berhadapan Balai Polis Sungai Korok.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa JKKK Kuala Jalan Bharu, Edward Tan berkata, tembok batu corak rambang yang dibina banyak membantu dalam mengelak kawasan tersebut dinaiki air terutamanya pada bencana banjir 4 November lalu.